
Ramai mengingati semula slogan ketika kempen PRU-15, yang sering diulang oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH), yang menyamakan undi untuk mana-mana calon Barisan Nasional (BN) sama dengan undi untuk Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkuasa.
Pengumuman mengejutkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mencetuskan ledakan kemarahan dan sindiran di media sosial, dengan mesej Twitter dan WhatsApp mengecam tindakan Perdana Menteri (PM) melantik ‘Kluster Mahkamah’ menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM).
Ramai mengingati semula slogan ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, yang sering diulang oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH), yang menyamakan undi untuk mana-mana calon Barisan Nasional (BN) sama dengan undi untuk Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkuasa.
Zahid yang juga Pengerusi BN sekarang ini berdepan 87 pertuduhan jenayah, termasuk rasuah, yang melibatkan jutaan ringgit, dan kesnya masih dibicarakan di mahkamah.
Pengguna media sosial yang menyatakan dirinya adalah pengundi kali pertama, Mellya Azizi, dipetik MalaysiaNow menyindir Ahli Parlimen Lembah Pantai daripada PKR Fahmi Fadzil kerana serangannya terhadap Khairy Jamaluddin dari BN iaitu calon yang diletakkan di kubu kuat PKR di Parlimen Sungai Buloh.
“Maaf YB, sebagai pengundi kali pertama dan juga seorang yang membantu KJ dalam kempennya, saya masih tidak boleh move on daripada perkara ini.
“Anda membunuh potensinya daripada menjadi suara kami di Parlimen dan menggantikan (dia) dengan Zahid,” katanya menjawab tweet sebelum ini oleh Fahmi, “Undi KJ = Undi Zahid”. Fahmi kini dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Digital dalam pentadbiran kerajaan Anwar.
Presiden UMNO itu memainkan peranan penting dalam memastikan BN memberi sokongan Anwar secara berkumpulan, walaupun terdapat bantahan keras daripada ahli Parlimen BN serta pemimpin kanan UMNO terhadap tindakan mengabaikan resolusi Perhimpunan Agung UMNO iaitu ‘No Anwar No DAP’.
Zahid, yang mengekalkan kerusi Bagan Datuk dengan majoriti tipis menentang calon PKR Shamsul Iskandar Mat Akin, juga dinamakan sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah
“Apa ce** Zahid Hamidi masuk dalam Kabinet. Kita semua sudah kena ******,” ciap Ryanz dalam Twitter.
ShariqHazard pula menciap bahawa pelantikan Zahid sebagai TPM akan memperkukuhkan PAS yang merupakan rakan komponen Perikatan Nasional di mana mereka menjadi parti yang paling banyak membolot kerusi Parlimen dalam PRU-15 baru-baru ini.
Sofifa berkata, barisan Kabinet menunjukkan kepentingan mendapatkan majoriti mudah bagi memastikan kerajaan stabil.
“Kabinet baharu pada asasnya hanya untuk memuaskan hati ramai pemimpin daripada banyak parti. Zahid sebagai TPM adalah bendera merah utama dan akan menimbulkan reaksi balas daripada rakyat.”
Arif Ridhauddin mempersoalkan ikrar PH untuk memerangi rasuah: “Tetapi ia melantik Zahid sebagai timbalan perdana menteri. Apa gurauan, kawan?!”
Pengguna lain seperti Severus dan Lily pula membuat ciapan penuh sarkastik: “Zahid Hamidi ikon anti rasuah. Tahniah Kabinet perpaduan Anwar Ibrahim.”
Ada juga pengguna yang menjawab seorang penyokong kuat Anwar, kartunis Zunar: ”Komen skit Zahid Hamidi jadi TPM? Lain order, lain dapat.”
“Ingat boleh hantar Zahid ke penjara. Rupa-rupanya ke Putrajaya.”
Dalam pada itu, pengguna @IniAlalalannn berkongsi sebuah poster yang disebarkan oleh PH memaparkan Zahid adalah seorang yang berkuasa di sebalik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Rupa-rupanya, Undi PH pun dapat TPM Zahid Hamidi,” katanya dalam sebuah ciapan yang dikongsi lebih 6,000 kali.
Sementara itu, seorang penyokong PH, @HafizRayyan, turut menciap mengenai Nurul Hidayah Zahid yang merupakan anak perempuannya, selepas Nurul memuat naik “Allahuakbar, Alhamdulillah, Subhanallah” di Instagram.
“Anak Zahid Hamidi, Nurul Zahid si ‘annoying’ is back! Masa pergi mahkamah untuk kes jenayah dan rasuah bapa dia, menangis. Ayah dia Zahid Hamidi pula masuk hospital macam-macam alasan bagi. Jadi TPM ni satu beranak terus segar. Gila!”
Di WhatsApp, pelbagai poster, video pendek dan imej gifs turut tular di mana salah satunya menunjukkan Zahid ketawa besar.
Antara yang tular dalam aplikasi itu adalah mesej mengatakan duit pembayar cukai kini akan dibelanjakan untuk mengiringi TPM bagi menghadiri perbicaraan rasuahnya di mahkamah.