
Dr Mahathir menyaman fitnah Presiden UMNO, Zahid Hamidi.
Perbicaraan kes saman fitnah Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dijadualkan bermula 11 September lalu ditangguhkan ke 13 Februari tahun depan.
Dr Mahathir sebelum ini menyaman Presiden UMNO itu kerana membuat fitnah berhubung asal usul bekas perdana menteri dua kali itu pada 2017 lalu semasa dalam satu program politik.
Saman itu difailkan menerusi Tetuan Haidir & Co di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 20 Julai lalu dengan menamakan Zahid, 69, sebagai defendan.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Dr Mahathir berkata, defendan mengeluarkan kenyataan palsu, berbaur fitnah dan berniat jahat dengan sengaja merujuk terus kepada plaintif ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.
Plaintif percaya, individu yang dirujuk dalam kenyataan fitnah iaitu ‘orang’, ‘dia’ dan ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ jelas merujuk kepadanya secara spesifik.
Sementara itu, bagi bicara kes saman Zahid terhadap Dr Mahathir pula, yang dijadualkan Isnin depan, ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan.
Saman itu berhubung dakwaan Zahid menggunakan kedudukan bagi mempengaruhi bekas Perdana Menteri itu untuk mencampuri urusan perbicaraan kes jenayahnya di mahkamah.
Peguam, Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Dr Mahathir mengesahkan perubahan tarikh bicara itu.
Pada 20 April tahun lalu, Zahid memfailkan saman fitnah dengan mendakwa Dr Mahathir memfitnahnya pada Majlis Pelancaran Aspirasi Parti Pejuang sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 23 Februari 2022.
Zahid mendakwa, pemimpin veteran itu memfitnah bahawa beliau pernah hadir di rumah Dr Mahathir bersama beberapa individu lain bagi mendapatkan bantuan untuk menyelesaikan kes mahkamah yang dihadapinya.