
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Kertas siasatan melibatkan dua pemimpin Perikatan Nasional (PN) sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Dua pemimpin PN itu, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berdepan siasatan mengikut Akta Hasutan kerana kritikan berhubung menjatuhkan kerajaan sebelum ini.
Perkara itu disahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin nasution Ismail yang dilantik menjadi anggota Kabinet walaupun kalah semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
Katanya, polis sedang menunggu arahan lanjut daripada AGC selepas kedua-dua kertas siasatan itu diserahkan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 ke atas kenyataan Ahli Parlimen Arau (Shahidan) berkaitan rancangan untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri.
“Selain itu, polis juga menjalankan siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ke atas kenyataan dalam video Ahli Parlimen Marang (Abdul Hadi) berkaitan menumbangkan kerajaan sedia ada melalui sistem demokrasi negara.
“Kedua-dua kertas siasatan telah diserahkan kepada pihak AGC untuk arahan lanjut,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang bertanyakan tindakan kerajaan terhadap pihak yang merancang menjatuhkan Kerajaan Perpaduan, khususnya Ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan bersifat menderhaka.