
Rakaman dari kokpit pesawat pejuang TUDM yang mendampingi pesawat Ilyushin Il-76 milik Tentera Udara Republik Rakyat China keluar dari ruang udara Malaysia pada Isnin. - Gambar ihsan TUDM
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memintas dan menghalau 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) yang menceroboh ruang udara negara semalam, kata TUDM hari ini.
Kenyataan Bahagian Perhubungan Awam Markas Tentera Udara Kementerian Pertahanan hari ini, berkata TUDM mengesan pesawat tentera China memasuki Zon Maritim Malaysia (ZMM) Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR) Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional pada 31 Mei 2021.
“Penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut telah dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 1153H. Pesawat-pesawat tersebut telah dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain.
“Formasi panjang tersebut juga telah terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar. Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara,” kata kenyataan itu.

Peta menunjukkan kawasan yang diceroboh 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China pada Isnin 31 Mei 2021. – Gambar ihsan TUDM
Menurut TUDM semua pesawat China itu dikesan terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki hingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knot melalui FIR Singapura sebelum memasuki ruang udara ZMM FIR Kota Kinabalu.
“(Pesawat tentera China) seterusnya terbang menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.
“Pihak TUDM telah meletakkan pesawat Hawk 208 daripada 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM,” kata TUDM.
Pada masa sama, TUDM turut melakukan pemantauan menerusi radar pertahanan udara ke atas pesawat-pesawat tersebut di samping beberapa percubaan mengarahkan mereka menghubungi kawalan trafik udara FIR Kota Kinabalu, tetapi gagal.
Katanya, TUDM menggerakkan pesawat-pesawat pemintas selepas arahan itu tidak dipatuhi setelah PLAAF melangkaui sepadan FIR Kota Kinabalu menghala ke ruang udara nasional.
“Apabila arahan tidak dipatuhi dan didapati melangkaui persempadanan KK FIR menghala ke ruang udara nasional,
TUDM telah melancarkan pesawat-pesawat pemintas pada jam 1333H untuk melakukan identifikasi visual.

Rakaman dari kokpit pesawat pejuang TUDM yang memintas pesawat pengangkut Xi’an Y-20 milik Tentera Udara Republik Rakyat China keluar dari ruang udara Malaysia pada Isnin. – Gambar ihsan TUDM
“Hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, TUDM telah mengenal pasti pesawat-pesawat tersebut adalah daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xi’an Y-20. Pesawat-pesawat jenis ini merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi,” katanya.
TUDM menyifatkan insiden sebagai perkara serius terhadap ancaman kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan berdasarkan kepadatan trafik udara di dalam laluan penerbangan FIR Kota Kinabalu.
“Insiden ini telah dikendalikan oleh TUDM khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia amnya berlandaskan undang-undang dan peraturan penerbangan antarabangsa International Civil Aviation Organization (ICAO) serta Strategi Pertahanan Udara Nasional (SPUN).
Kementerian Luar Negeri telah dimaklumkan mengenai insiden itu.