Wajib kuarantin lepas pulang dari luar negara

Rakyat Malaysia perlu menjalani kuarantin selepas pulang ke tanah air walaupun kerajaan mengumumkan kebenaran perjalanan ke luar negara termasuk melancong tanpa melalui MyTravelPass.

Menurut Berita Harian, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata individu berkenaan masih terikat dengan garis panduan serta peraturan ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Justeru katanya, mereka yang mahu kembali ke negara ini diwajibkan menjalani kuarantin sebaik pulang ke tanah air.

“Ini bermakna sekalipun rentas negeri dan perjalanan ke luar negara telah dibenarkan, prosedur operasi standard (SOP) tetap berkuat kuasa.

“Semua pihak masih perlu patuh kepada semua peraturan demi kebaikan diri sendiri dan orang sekeliling.

“Saya harap kerjasama daripada mereka yang hari ini cukup gembira dengan apa yang diumumkan. Tetapi kegembiraan itu mestilah bersandarkan kebertanggungjawaban kepada apa yang telah kerajaan umumkan,” katanya.

Mengulas sama ada kerajaan bercadang menyenaraikan negara dibenarkan dan dilarang, Hishammuddin berkata kemungkinan langkah itu perlu kerana ada negara lain berbuat demikian.

Bagaimanapun, katanya hal itu perlu ditentukan oleh KKM.

“Itu saya rasa perlu kita lihat kerana ini adalah amalan beberapa negara sebelum ini. Tetapi yang nak tentukan dan senaraikan negara berkenaan berada dalam tanggungjawab KKM. Baik soalan itu diajukan kepada Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin),” katanya lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR