
Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan keadaan bekalan beras terputus yang dihadapi dalam negara ini sudah seperti negara dunia ketiga.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu membangkitkan rungutan dan aduan rakyat berhubung ketiadaan bekalan beras tempatan di pasaran ketika ini yang seakan-akan seperti keadaan di Somalia sehingga menyusahkan kehidupan rakyat.
“Masalah bekalan barang tak cukup tak pernah berlaku dalam negara kita, apa yang berlaku baru-baru ini?
“Kalau kita tengok yang berlaku ini macam berlaku di Somalia macam berlaku di negara-negara ketiga, macam berlaku di negara-negara miskin seperti di Afrika. Itu biasa kita tengok dan kita tak hairan memang negara itu negara miskin. Malaysia bukan negara miskin, lagipun kita pengeluar beras,” katanya semasa berceramah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai yang diadakan di FELDA Chemomoi malam tadi.
Muhyiddin juga berkata dalam video tular baru-baru ini yang menunjukkan rakyat beratur untuk membeli beras adalah sesuatu yang luar biasa berlaku dalam negara dan tidak sepatutnya ia terjadi.
“Pernah tak kita dengar orang beratur bersesak-sesak? Kita tengok dalam video dah tular hampir banyak video dah tular hari ni orang beratur nak ambil bekalan beras, bekalan siapa? Bekalan FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan),” ujarnya.
Muhyiddin mempersoalkan tindakan kerajaan yang mengarahkan FAMA menguruskan pengagihan bekalan beras kepada rakyat.
Menurutnya, apa yang berlaku bertentangan dengan peranan agensi itu sedangkan Malaysia mempunyai sistem pengagihan dan rantaian bekalan beras sejak 50 tahun lalu.
“Tapi hari ini baca berita, Mat Sabu (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu) menyampaikan penerangan kepada PM, memberitahu dia sedang menguruskan soal bekalan menerusi FAMA…dan tak ada kenyataan PM kata (langkah itu) tak betul.
“Tak pernah dibuat begitu sebab bukan kerja FAMA. Kalau FAMA buat kerja ni (agih bekalan beras) dah jadi tanggungjawab baru,” katanya lagi.
Katanya, sekiranya FAMA diberi tanggungjawab mengagihkan bekalan beras ia akan memberi kesan kepada pemasaran hasil tani lain.
“FAMA bekalkan sayur, beli sayur pasarkan sayur, kelapa… tak pernah masuk dalam senarai tu (agihkan bekalan) beras.
“Jadi masalah pada petani-petani lain. Siapa nak bekal, siapa jual siapa nak pasar bekalan orang-orang kampung yang akan diurus menerusi bantuan dari FAMA.
“FAMA kata lori tak ada, orang tak ada sebab Mat Sabu suruh atur dan agih (beras) kepada seluruh negara,” katanya.