Sokong tubuh RCI siasat kerajaan bayar RM6 bilion tapi LCS tak siap

August 9, 2022 · Isu semasa

Kerajaan perlu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat perolehan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) bernilai RM9 bilion untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kata Ahli Parlimen veteran Lim Kit Siang hari ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata terdapat banyak persoalan mengenai isu itu dan siasatan bebas diperlukan untuk mengetahui sama ada terdapat “tangan tersembunyi” yang terlibat menyebabkan kerajaan membayar lebih RM6 bilion kepada kontraktor yang gagal menyiapkan dan menghantar mana-mana daripada enam kapal yang ditauliahkan.

Beliau menyokong gesaan musuh politiknya Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan supaya RCI ditubuhkan, sambil menyatakan parti itu diwakili oleh sembilan menteri dalam Kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seramai 32 anggota.

“Adakah sesiapa di antara mereka akan mencadangkan dalam Kabinet akan datang penubuhan RCI terhadap skandal LCS RM9 bilion dan adakah sembilan menteri Bersatu akan bertindak sebagai satu blok untuk menyokong penubuhan RCI itu?,” soal Kit Siang dalam satu kenyataan.

Veteran DAP itu juga bertanya sama ada menteri daripada parti lain di dalam Kabinet Naib Presiden UMNO itu akan menyokong gesaan penubuhan RCI jika kebanyakan rakan mereka menyokongnya.

Selain Bersatu, Lim menegaskan bahawa Kabinet mempunyai 12 menteri UMNO, empat daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu dari Sarawak, tiga daripada PAS, dan masing-masing seorang daripada MCA, MIC, dan Parti Bangsa Malaysia.

Lim menyatakan bahawa istilah “tangan tersembunyi” untuk merujuk kepada skandal LCS pertama kali digunakan oleh Wan Saiful, dan ahli jawatankuasa khas sebelum ini yang ditubuhkan untuk menyiasat isu itu, Datuk Mohd Tap Salleh.

“Adakah ‘tangan tersembunyi’ di sebalik skandal LCS RM9 bilion? Ini sememangnya memerlukan RCI,” tambah Kit Siang lagi.

Semalam, Wan Saiful berkata kerajaan perlu menubuhkan RCI bagi merungkai kemelut berhubung skandal pembelian enam kapal LCS bernilai RM9 bilion yang gagal disiapkan sehingga sekarang.

Menurutnya langkah menubuhkan RCI akan dapat memastikan dalang disebalik skandal kapal tak siap tersebut dapat dibawa ke muka pengadilan dan menyokong supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan dengan segera.

“Saya juga menyokong tindakan SPRM menyiasat perkara ini. SPRM mesti diberikan kebebasan dan kuasa untuk menyiasat sepenuhnya.

“Apa yang membimbangkan ialah ‘tangan-tangan ghaib’ di sebalik skandal ini sedang cuba mengelak dan enggan bertanggungjawab ke atas skandal ini, sedangkan semua rakyat tahu mereka yang terbabit tidak malu langsung untuk merompak harta negara untuk kepentingan sendiri,” kata Wan Saiful.

Mohd Tap ialah ahli Jawatankuasa Siasatan Khas Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Awam (JKUSTUPKK) yang ditugaskan pada 2020 untuk meneliti perjanjian LCS dan melaporkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) – badan pemantau dwipartisan Parlimen.

Semasa prosiding PAC pada 2020, Mohd Tap telah menegaskan bahawa kedua-dua perubahan reka bentuk LCS daripada Sigma kepada Gowind dan rundingan harga telah dilakukan dalam masa beberapa hari, sambil menegaskan “…tidak mungkin. Melainkan ada tangan tersembunyi yang terlibat dalam perkara ini”.

PAC baru-baru ini membentangkan penemuannya di Parlimen tetapi menekankan bahawa laporan jawatankuasa khas yang dimintanya mengandungi beberapa bahagian yang telah disunting dan tidak didedahkan sepenuhnya.

Mengulas lanjut, Kit Siang bertanya sama ada Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah memohon untuk mendapatkan kelulusan Kabinet bagi menyahklasifikasi sepenuhnya laporan jawatankuasa khas mengenai perjanjian perolehan seperti yang disyorkan oleh PAC.

“Jika tidak, bolehkah Hishammuddin menyatakan sama ada beliau bersetuju dengan penyahklasifikasian laporan JKUSTUPKK dan bila beliau bercadang untuk melaksanakannya,” soal Kit Siang.

Laporan PAC yang dikeluarkan pada 8 Ogos menyatakan kontrak 10 tahun bernilai RM9.128 bilion dari Oktober 2013 hingga Oktober 2023 telah diberikan melalui rundingan terus kepada kontraktor Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) untuk pembekalan enam LCS.

Jawatankuasa itu juga berkata kerajaan Malaysia setakat ini telah membayar RM6.083 bilion kepada kontraktor, tetapi tiada satu pun daripada enam kapal LCS telah disiapkan. Berdasarkan jadual asal, lima daripada enam kapal LCS sepatutnya telah siap dan diserahkan pada Ogos 2022.

Menurut PAC, projek itu telah mengalami lebihan kos sebanyak RM1.4005 bilion kerana bayaran kerajaan kepada BNS tidak digunakan sepenuhnya untuk projek LCS, dengan menyatakan bahawa lebihan RM1.4 bilion termasuk RM400 juta yang dibelanjakan untuk bayar hutang lama untuk projek Kapal Peronda Generasi Baharu.

Laporan PAC berkata peralatan yang disimpan dalam simpanan untuk projek LCS dianggarkan bernilai RM1.7 bilion, dengan anggaran 15 peratus daripadanya sudah usang.

Berita berkaitan
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024· Isu semasa
Kumpulan pemerhati rasuah gesa dedah perjanjian tambahan LCS
October 11, 2023· Isu semasa
Selepas pendedahan PAC, MINDEF nafi AGC tak dilibatkan dalam perjanjian LCS
October 10, 2023· Isu semasa
Program PLKN dihidupkan semula, kata Menteri Pertahanan
October 9, 2023· Isu semasa
Popular
Skandal LCS: TLDM kalah bertempur sejak awal, kata bekas panglima
August 15, 2022
Bekas ketua hakim negara cemas di kandang saksi, lapor Bernama
April 12, 2021
Kembalikan deria bau
November 9, 2021
MB Perlis cerai isteri talak satu
August 25, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok