
Penguasa Kanan SPRM dipenjara tiga tahun dan dua sebatan kerana menyalahgunakan wang rampasan SPRM berjumlah AS$6.94 juta.
Seorang Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipenjara tiga tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini kerana menyalahgunakan wang rampasan SPRM berjumlah AS$6.94 juta.
Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu selepas Shahrum Nizam Baharuddin, 41, menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pilihan ketika sebutan kes hari ini.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara dari tarikh tangkap pada 13 September 2021, lapor Bernama.
Sebelum ini, SPRM mengesahkan penahanan tiga pegawainya bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid.
Pada 12 April 2021, Mahkamah Tinggi di sini melepas tanpa membebaskan Hasanah daripada pertuduhan melakukan pecah amanah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.
Susulan itu, Hasanah menuntut semula wang tunai yang dirampas oleh SPRM sebelum mendapati wang sebanyak RM25 juta telah lesap.
Semasa prosiding di hadapan hakim Suzana Hussin pagi ini, Shahrom mengesahkan fakta kes yang dibacakan oleh timbalan pendakwa raya, Ahmad Akram Gharib.
Shahrum sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah amanah jenayah tetapi pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan yang lebih ringan.
Dia melakukan kesalahan itu antara 17 Disember 2018 dan 9 April 2019 di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.