
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Pendirian tidak membenarkan pengeluaran bersasar wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kekal buat masa ini, kata Datuk Seri Ahmad Maslan.
Timbalan Menteri Kewangan itu berkata sebenarnya pencarum yang layak mengeluarkan KWSP tidak mahu mengeluarkan wang mereka tetapi memberi jaminan kerajaan akan mencari jalan lain untuk membantu kumpulan yang memerlukan bantuan.
“Saya kira dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan Jumaat ini, sebagaimana yang dijanjikan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), ada kaedah lain untuk membantu kumpulan ini.
“Apabila kita melihat kepada angka, mereka yang layak (untuk membuat pengeluaran), sebenarnya mereka tidak mahu keluarkan pun, masalahnya bagi yang sikit (simpanan), makin sikit pengeluaran (untuk dilakukan).
“Walaupun mereka akan ada gaji, tapi struktur gaji di Malaysia ini adalah rendah. Kita ingin pastikan rakyat berpendapatan tinggi, maka KWSP mereka merentas kaum juga akan tinggi dan ini antara perkara utama yang ingin kita lakukan,” katanya semasa sesi penggulungan di Dewan Rakyat hari ini.
Jelasnya, pengeluaran KWSP sudah diberikan sebanyak empat kali ketika pandemik Covid-19 sebelum ini dan negara yang melakukan perkara sama, turut tidak lagi membenarkan pengeluaran wang caruman itu.
Katanya, berdasarkan rekod, seramai 6.7 juta atau 51.5 peratus pencarum di bawah usia 55 tahun kini mempunyai simpanan RM10,000 dan ke bawah.