
Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata Inisiatif Menu Rahmah berjaya mengurangkan kadar inflasi harga makanan di luar rumah (makan di kedai) buat pertama kali sejak Ogos 2021, lapor FMT.
Katanya, kadar inflasi makanan di luar rumah menurun daripada 9.6% kepada 9.3% sejak inisiatif itu diperkenalkan Januari lalu dan secara purata berupaya meningkatkan jualan syarikat terbabit antara 25% hingga 30%.
“Sebab itu mereka (syarikat) menamakan inisiatif Menu Rahmah ini sebagai ‘crowd puller’. Manfaat dari segi jumlah itu yang telah menjadi tarikan (bagi syarikat menyertai) dan ia memberikan keuntungan kepada syarikat,” katanya selepas melancarkan Menu Rahmah KFC dan Pizza Hut di Restoran KFC dan Pizza Wangsa Maju.
Salahuddin berkata, KFC dan Pizza Hut merupakan syarikat yang ke-3,000 menyertai inisiatif Menu Rahmah sekali gus menoktahkan sebarang keraguan tentang keberkesanan Menu Rahmah.
“Ini membuktikan inisiatif ini sebenarnya dapat menakluk ataupun bertakhta di hati pemain-pemain industri yang merelakan sebahagian daripada keuntungan mereka dipulangkan kembali kepada rakyat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Salahuddin turut memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung kenaikan harga atau kekurangan bekalan gula pasir kasar dan halus sejak dua syarikat pengeluar gula dibenar memasarkan gula bertapis halus jernih.
Katanya, kedua-dua syarikat terbabit masih perlu memastikan 42,000 tan metrik gula bertapis kasar dan halus berada di pasaran yang dijual pada harga kawalan iaitu RM2.75 sekilogram bagi gula kasar dan RM2.85 sekilogram bagi gula halus.
“Rakyat tidak perlu bimbang, bekalan cukup dan harga tidak naik,” katanya.