Lukisan beruk, katak dalam sidang Parlimen menyalahi adab Islam: Mujahid

April 13, 2022 · Isu semasa

Ahli Parlimen (MP) Parit Buntar Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa membantah sebuah lukisan yang melakarkan MP dilukis sebagai spesies primat dan amfibia, kecuali Speaker Dewan dan dua pegawai bertugas, sambil menyifatkannya bertentangan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

Menurutnya walaupun secara satiranya ia adalah sebuah kritikan pedas dari perspektif pengkarya seni lukisan, hakikatnya lukisan ini mahu menggambarkan realiti seolah-olah institusi Parlimen sudah bertukar menjadi sidang beruk dan katak.

Pada akhir kenyataan di Facebook beliau hari ini, Mujahid yang menulis jawatannya sebagai ‘Ahli Parlimen Manusia Parit Buntar’,  menegaskan beliau menerima kritikan tersebut dengan hati terbuka, walaupun tidak bersetuju sikap melabel secara pukal ke atas semua MP, apatah lagi kemuliaan dewan Parlimen digambarkan begitu rupa.

“Setiap MP mahupun pelawat ditetapkan untuk tunduk hormat sebelum duduk di kerusi masing-masing sebagai memuliakan dewan. Saya tidak fikir kita berbuat demikian ketika memasuki zoo atau kandang haiwan!

“Ahli Legaslatif adalah nama kepada tugas mulia yang diamanahkan, walaupun masyarakat lebih selesa memanggil kami MP atau YB. Syarat untuk layak sebagai ahli legaslatif bagi Dewan Rakyat ialah seseorang perlu memenangi kawasan Parlimen atau konstituensi yang ditandinginya dengan majoriti mudah.

“Menghukum semua ahli Dewan Rakyat sebagai beruk, kera dan monyet agak keterlaluan walaupun atas piawaian sebuah satira.

“Hormatilah pilihan majoriti pengundi masing-masing kerana mereka tidak mahu disabitkan sebagai pengundi beruk dan kera!,” katanya dalam kenyataan hari ini mengulas lukisan berkenaan yang dibeli Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Semalam, Selangor Royal Office dalam satu kenyataan memaklumkan sebuah hasil karya seni lukisan telah menarik perhatian Sultan Selangor.

“Sebaik melihatnya, Baginda berkenan untuk membeli karya lukisan itu dan menggantungnya di ‘private study room’ Baginda. Satu hari nanti, Baginda berhasrat untuk melelong lukisan ini dan hasil lelongannya akan disumbangkan untuk tujuan kebajikan,” kata Selangor Royal Office.

Lukisan yang menggambarkan semua Ahli Parlimen sebagai spesies beruk dan katak kecuali Speaker Dewan dan dua pegawai bertugas mendapat perhatian netizen.

Mengulas lanjut, Mujahid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu turut menyatakan bantahan kerana lukisan berkenaan melanggar etika dan adab berpandukan nilai-nilai di dalam al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.

Beliau berkata ayat 11 surah Hujurat dengan jelas melarang mencemuh dan merendah-rendahkan sesuatu golongan serta melarang gelar-menggelar dengan panggilan yang buruk (dalam hal ini lebih buruk, sebuah lukisan).

“Malah mereka yang tidak berhenti berbuat demikian (bertaubat) dia disebut oleh Allah sebagai orang yang zalim. Hadis Riwayat Muslim jelas menunjukkan antara sikap sombong seseorang kerana dua perilakunya iaitu menolak kebenaran dan merendah-rendahkan manusia. Satira dalam apa jua bentuknya perlulah menghormati adab-adab seorang Muslim.

“Saya mengakui perasaan kekecewaan rakyat tetapi kita harus adil dan bersifat objektif seperti bertanya soalan lebih besar kepada orang politik yang memainkan sentimen perkauman dan agama sempit, budaya jatuh menjatuhkan sehingga mempermainkan mandat rakyat, fitnah-memfitnah serta tawar-menawar pangkat dan kedudukan untuk lompat parti. Ini lebih bahaya kepada institusi politik negara dan kestabilannya,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa di sebalik semua ujian ini, MP rentas blok dan parti berjaya mendapat sokongan dua pertiga demi kepentingan rakyat, seperti undi 18, perjanjian Malaysia untuk Sabah/Sarawak dan terakhir persetujuan bersama menggubal akta lompat parti.

“Kami akur dengan titah YDPA yang menasihati dengan tegas perlunya kestabilan politik. Saya tidak fikir beruk, kera dan monyet mahupun katak sendiri mampu melakukan demikian.

“Saya menghargai hak berkarya sebagaimana saya juga mengharapkan hak untuk mempertahankan diri dihormati apatah lagi apabila salah satu cabang pemerintahan iaitu Legaslatif diperlekehkan.

“Ini bukan soal siapa makan cili terasa pedas tetapi satira ini umpama kata orang tua-tua kita “bagaimana tidak hujan, katak bentung dalam telaga berteriak selalu”,” katanya.

Berita berkaitan
Polis sedang kesan individu hina Sultan Selangor, dipercayai berada luar negara
March 27, 2024· Isu semasa
Kalau kita pecat dia untung kerana dapat jadi MP bebas, kata Razali
November 11, 2023· Politik
Zahid dakwa ramai lagi MP PN akan sokong Anwar selepas ini
November 9, 2023· Politik
Politik wang diamalkan ketika ini oleh kerajaan Anwar, bidas Wan Saiful
November 9, 2023· Politik
Popular
Kembalikan deria bau
November 9, 2021
MB Perlis cerai isteri talak satu
August 25, 2022
PN akan terus desak caruman KWSP bersasar dibenarkan
March 16, 2023
Benar ke Najib kontak rapat Covid-19, tapi kereta berderet depan rumah
December 7, 2021
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok