
Anwar bersama anak muridnya, Zahid Hamidi.
Lebih ramai lagi Ahli Parlimen (MP) Perikatan Nasional (PN) dijangka akan menyokong kerajaan campuran Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Anak murid Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO itu meramalkan beberapa MP blok pembangkang akan menyertai empat wakil rakyat Bersatu yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada cikgunya tersebut dan menyifatkan ia sebagai perkara yang positif.
Presiden UMNO itu berkata, kerajaan perlu bersedia berdepan realiti politik baharu terbabit susulan perkembangan berkenaan.
“Kita berpandangan bukan hanya empat orang (Ahli Parlimen pembangkang) ini saja… tetapi kita menjangka mungkin lebih daripada itu yang akan memberikan dukungan kepada Perdana Menteri.
“Kita mesti bersangka baik dalam dukungan yang diberikan,” katanya dipetik laporan BH hari ini.
Terdahulu, empat MP PN yang terdiri daripada Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.
Empat MP PN itu memberi alasan tindakan menyokong Anwar tersebut bertujuan bagi mendapatkan peruntukan, ia memandangkan kerajaan tidak pernah menyalurkan peruntukan kepada MP PN.
Bagaimanapun, empat MP tersebut berkata setia dan kekal bersama parti Bersatu dan tidak keluar parti walaupun bertindak menyokong Anwar dan kerajaan campuran yang dipimpinnya.