Jabatan Perdana Menteri (JPM – Hal Ehwal Agama) mengingatkan pihak pengurusan masjid supaya tidak membeza-bezakan layanan terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang hendak menunaikan solat di masjid kelolaan mereka.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama di JPM, Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata layanan kepada ‘jemaah kayangan’ tidak sepatutnya berlaku untuk tujuan beribadah di masjid, sebaliknya ia mestilah sama rata.
Mengulas klip video tular menunjukkan ada kenamaan yang diberi layanan istimewa untuk menunaikan solat di masjid, beliau berkata pihaknya sedang mengenal pasti lokasi masjid yang menjadi subjek dalam video itu.
“Pihak yang berhormat menteri agama sendiri telah pun meminta dan memohon penjelasan daripada pihak masjid khususnya di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan insya-Allah dalam tempoh sehari dua lagi perkara ini kita akan selesaikan.
“Saya sendiri pun sebenarnya apabila ke masjid saya beratur, paling penting yang mahu ke masjid perlu pergi awal dan ambil tempat sesuai,” katanya.
Klip video berkenaan memaparkan individu dikatakan kenamaan memasuki masjid tanpa menunggu giliran dan ia mengundang kecaman warga maya yang mempersoal wujudnya dua darjat antara orang kenamaan dan rakyat biasa.
Rakaman itu menunjukkan sebaik sahaja kenamaan itu masuk, kakitangan bertugas terus menutup pintu masjid, namun dibuka semuka kepada seorang lagi ‘kenamaan’ yang tiba lewat, dengan membiarkan jemaah lain melihat peristiwa itu.
Ramai warganet yang mengecam perbuatan itu, malah ada yang mengingatkan di hadapan Allah SWT nanti tidak ada layanan istimewa kepada golongan kenamaan.
Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata selain memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi, pihaknya turut mengingatkan pengurusan masjid supaya mempunyai budi bicara dalam menentukan kehadiran jemaah dan tidak hanya melayani kumpulan tertentu.
Beliau berkata pihaknya sentiasa memperbaharui SOP membabitkan kehadiran jemaah di masjid.
“SOP jemaah di masjid sekarang masih lagi terhad iaitu dengan hanya jumlah minimum. Kerajaan memandang serius perkara ini dan kita akan sentiasa memperbaharu SOP mengikut kesesuaian.
“Kadar jangkitan wabak Covid-19 juga menjadi antara pertimbangan untuk kita perbaharui SOP bagi membenarkan lebih ramai jemaah dapat hadir ke masjid, namun paling penting sekarang kadar imuniti kelompok di negara ini perlu dicapai terlebih dahulu,” katanya.