
Jumlah jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara pada 13 Mei 2022.
Jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi (Jumaat, 13 Mei 2022) turun sedikit berbanding yang direkodkan dalam tempoh sama semalam, menurut data dikumpul daripada Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri malam ini.
Dalam tempoh itu sebanyak 3,029 jangkitan virus SARS-CoV-2 dilaporkan, turun 381 kes berbanding 3,410 kes semalam.
Jumlah itu menjadikan kumulatif positif sejak kes pertama Covid-19 dikesan di negara ini pada Januari 2020 hingga semalam, naik kepada 4,473,500 kes – ketiga tertinggi dalam kelangan negara-negara ASEAN selepas Vietnam dan Indonesia.
Berdasarkan rekod Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri, tujuh negeri mencatat peningkatan jangkitan hari ini berbanding semalam.
Kuala Lumpur merekodkan 501 kes baharu berbanding 455 semalam, diikuti Pulau Pinang (229 kes, 192 semalam); Negeri Sembilan (208 kes, 195 semalam); Putrajaya (88 kes, 79 semalam); Sabah (78 kes, 57 semalam); Pahang (58 kes, 57 semalam); dan Sarawak (57 kes, 54 semalam).
Sehingga semalam, seramai 4,408,043 pesakit telah pulih, dengan 26,826 kes masih aktif, termasuk 25,414 atau 94.7 peratus pesakit menjalani kuarantin di rumah.
Dalam tempoh itu, 1,328 pesakit dimasukkan ke hospital; 51 dirawat di unit rawatan rapi, dengan 34 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan, dan 33 pesakit ditempatkan di PKRC.
Berikut adalah pecahan kes baharu dan kumulatif positif bagi negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan sehingga 13 Mei 2022:
- Selangor – 1,286 (1,351,203);
- Johor – 126 (383,247);
- Sabah – 78 (371,195);
- Kuala Lumpur – 501 (351,822);
- Sarawak – 57 (305,903);
- Kedah – 61 (299,398);
- Pulau Pinang – 229 (279,111);
- Kelantan – 21 (247,644);
- Negeri Sembilan – 208 (203,069);
- Perak – 174 (202,012);
- Pahang – 58 (171,258);
- Terengganu – 23 (125,997);
- Melaka – 108 (122,993);
- Labuan – 3 (21,367);
- Putrajaya – 88 (19,925); dan
- Perlis – 8 (17,356).
Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menggalakkan kumpulan rentan yang berdepan risiko jangkitan teruk dan komplikasi Covid-19 yang masih tinggi, mengambil suntikan dos penggalak kedua.
“Individu yang telah lengkap menerima dos primer vaksin Covid-19 dan diikuti dengan dos penggalak pertama telah terbukti mendapat perlindungan optima daripada jangkitan Covid-19 yang teruk dan kematian.
“Namun disebabkan berlaku penurunan imuniti dalam tempoh yang tertentu (waning imunity), terutama kepada individu di dalam kumpulan rentan, risiko kumpulan ini untuk mendapat jangkitan yang teruk dan komplikasi penyakit Covid-19 masih tinggi.
“Oleh itu, pengambilan pengambilan vaksin dos penggalak kedua adalah digalakkan bagi kumpulan ini,” kata KKM.