
Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Putrajaya memutuskan untuk meneruskan rayuan dan permohonan penangguhan pelaksanaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung isu kewarganegaraan automatik.
Walaupun diberi tekanan oleh kumpulan tertentu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata tindakan itu bagi membolehkan kerajaan tidak dikenakan tindakan penghinaan mahkamah dan pada masa yang sama mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah Tinggi pada 9 Sept lalu membenarkan kewarganegaraan automatik kepada anak yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing.
Beliau berkata terdapat dua keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang berbeza, iaitu kes Suriani Kempe bersama enam lagi lawan Kerajaan Malaysia dan kes Mahisha Sulaiha Abdul Majeed lawan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara bersama dua lagi mengenai pentafsiran bapa dalam Jadual Kedua Bahagian II Seksyen 1(b) dan 1(c) Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri tadi, kita menjemput Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bagi memberikan penjelasan. Jemaah Menteri telah meminta Peguam Negara untuk membawa isu berkenaan kepada Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam tempoh waktu terdekat.
“Itu keputusan kita supaya selepas ini kita dapat kedua-duanya pemahaman Majlis Raja-Raja dan Kabinet untuk membuat keputusan seterusnya,” katanya lapor Bernama.
Dalam Sidang Media Khas Kementerian Dalam Negeri (KDN), Hamzah berkata keputusan dibuat setelah mengambil kira keputusan penghakiman yang berbeza dalam kedua-dua kes tersebut dan prosiding mahkamah dalam kes Mahisha Sulaiha yang masih berjalan di peringkat Mahkamah Rayuan.
Dalam kes Mahisha Sulaiha yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Mei 2020, keputusan kes itu menyebelahi kerajaan dan telah dibuat rayuan olehnya kepada Mahkamah Rayuan manakala keputusan dalam kes Suriani Kempe bersama enam lagi tidak menyebelahi kerajaan.
Walau bagaimanapun, beliau berkata Manisha Sulaiha telah mengemukakan rayuan dan akan dibicarakan pada November ini.
Rayuan kes Mahisha Sulaiha Abdul Majeed akan dibicarakan pada bulan November ini.
Pada 9 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bayi yang lahir di luar negara oleh ibu warga Malaysia dan pasangan rakyat asing, berhak mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.
Hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir memutuskan perkataan ‘bapa’ dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan perlu bermaksud dan termasuk ibu.
Bagaimanapun pada 13 Sept lepas, kerajaan memutuskan untuk mengemukakan rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.