
Kerajaan tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan mahkamah berkait hak seorang penganut Kristian dari Sarawak menggunakan kalimah ‘Allah’ bagi tujuan pembelajaran agamanya, lapor FMT.
Jabatan Peguam Negara yang mewakili Kementerian Dalam Negeri memaklumkan keputusan itu kepada Mahkamah Rayuan pada 18 April.
Mahkamah Tinggi pada 2021 membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang penganut agama Kristian dari Sarawak, Jill Ireland untuk menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam pembelajaran agamanya.
Peguam, Haniff Khatri Abdull yang mewakili pihak berkuasa agama Selangor, Kedah, dan Wilayah Persekutuan berkata anak guamnya telah dimaklumkan mengenai perkara ini.
Ireland memulakan permohonan semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 supaya dikembalikan lapan cakera padat yang dirampas daripadanya pada 11 Mei 2008 sebaik tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang.
Wanita itu memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar penyitaan cakera padat tersebut serta memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian.