
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat persediaan pembinaan Hospital Medan yang dibina Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sebanyak enam lagi Hospital Medan akan dibina Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menampung peningkatan jumlah pesakit Covid-19 dan juga membantu pemberian vaksin kepada orang ramai, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri berkata penyediaan fasiliti tersebut antara termasuk dalam peruntukan sebanyak RM1 bilion yang diumumkan kerajaan dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Tambahan) pada 31 Mei baru-baru ini.
“Peruntukan berkenaan akan digunakan untuk menambahkan tenaga kerja seperti doktor, paramedik, peralatan kesihatan dan lain-lain lagi. Makanya, kita akan ada lapan buah Hospital Medan (termasuk dua yang diumumkan sebelum ini) dengan peruntukan baharu ini.
“Apa yang dilakukan pihak ATM ini bukan sahaja boleh membantu kerajaan menangani isu COVID-19 malah isu berkaitan (pemberian) vaksin,” katanya lapor Bernama hari ini.
Terdahulu, Ismail Sabri menghadiri program pelancaran pembinaan Hospital Modular COVID-19 ATM di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.
Menerusi peruntukan RM1 bilion itu, RM450 juta diperuntukkan bagi meningkatkan kapasiti katil dan peralatan Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk rawatan COVID-19, bukan sahaja di hospital seliaan Kementerian Kesihatan tetapi juga Hospital pengajar Universiti Awam seperti UiTM, UPM dan UKM serta melalui Hospital Medan ATM seperti di Sabah dan Sarawak.
Sebanyak RM550 juta lagi diperuntukkan untuk menampung pertambahan kos operasi dan pengurusan dalam menangani krisis kesihatan COVID-19 termasuk ubat, reagen untuk saringan serta lantikan pegawai secara kontrak.
Pada 23 Mei lepas, Ismail Sabri dilapor berkata ATM akan membina dua lagi Hospital Medan bagi merawat pesakit COVID-19 dan setakat ini, sebanyak tiga Hospital Medan telahpun beroperasi iaitu di Tawau, Sabah; Kapit, Sarawak dan Kepala Batas, Pulau Pinang.