Dana RM10 juta YAB kepada Armada untuk pelaburan, kata Datuk K sebagai saksi pembelaan

August 21, 2023 · Isu semasa

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa pemberian dana RM10 juta oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui Yayasan Akalbudi (YAB) kepada Armada Holdings Sdn Bhd untuk membida tender sebagai syarikat pembekal arang batu kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi tujuan pelaburan.

Ahli perniagaan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K, 64, menjadi saksi pembelaan dalam kes rasuah Presiden UMNO yang bersambung hari ini.

Jelasnya, wang RM10 juta itu juga telah dikembalikan berserta faedah sebanyak RM69,722.65 kepada yayasan tersebut dan yayasan berkenaan tidak mengalami apa-apa kerugian serta memperoleh keuntungan yang sama atau sepatutnya, menurut laporan Bernama.

Khalid bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar bahawa dana itu adalah satu pinjaman dan beliau (Khalid) tidak pernah terlintas untuk menolak pelawaan Ahmad Zahid untuk membantu memberikan dana RM10 juta.

Disoal lanjut, adakah saksi itu tidak terfikir bagaimana Ahmad Zahid mendapatkan dana berkenaan (RM10 juta), Khalid yang mengenali timbalan perdana menteri itu hampir 30 tahun sejak bertugas sebagai pengurus bahagian pinjaman di bank Bumiputra (kini bank CIMB) berkata Ahmad Zahid adalah seorang tokoh korporat, usahawan, bekas ahli perbankan selain mempunyai sumber kewangan yang pelbagai.

“Tempoh kenalan yang lama itu membuatkan saya rapat dengan Datuk Seri Zahid dan mengenali sifat dan karakter beliau. Antara sifat beliau yang saya ketahui adalah beliau seorang yang pemurah, dermawan dan suka membantu apabila seseorang memerlukan bantuan,” kata saksi pembelaan kelapan itu.

Beliau berkata demikian pada perbicaraan membela diri Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana YAB.

Ketika membacakan penyataan saksinya Khalid berkata disebabkan agak rapat dengan Ahmad Zahid beliau juga pernah melakukan beberapa aktiviti sosial bersama antaranya beliau bersama isteri Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin pernah beberapa kali menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci bersama Ahmad Zahid dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis.

Menceritakan mengenai pemberian dana RM10 juta kepada Armada Holdings, Khalid berkata sekitar 2015, rakannya iaitu Datuk Wasi Khan @ Wasiyu Zama Israr yang juga saksi pendakwaan ke-21 bertemu dengannya dan memaklumkan bahawa beliau (Wasi Khan) berhasrat untuk menubuhkan satu syarikat pembekalan arang batu di Indonesia.

Menurut Khalid, syarikat berkenaan (Armada) memerlukan modal berbayar RM10 juta untuk memenuhi syarat minimum bagi didaftarkan sebagai syarikat pembekal atau kontraktor di bawah TNB.

“Datuk Wasi Khan tahu bahawa saya merupakan seorang kenalan rapat kepada Datuk Seri Zahid dan beliau (Wasi Khan) telah meminta bantuan saya untuk menguruskan satu perjumpaan dengan Datuk Seri Zahid. Saya bersetuju dengan permintaan Datuk Wasi Khan dan telah menguruskan satu perjumpaan di antara kami berdua bersama Datuk Seri Zahid di pejabat beliau di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya,” katanya.

Khalid berkata dalam pertemuan tersebut Wasi Khan menyatakan hasratnya kepada Ahmad Zahid dan meminta campur tangan Ahmad Zahid untuk meminta pihak TNB supaya dapat mengurangkan jumlah modal berbayar kepada RM5 juta sahaja.

“Namun, Datuk Seri Zahid telah memaklumkan bahawa beliau tidak boleh berbuat demikian kerana ia di luar bidang kuasa beliau dan menjadi satu kesalahan sekiranya beliau campur tangan dalam urusan dan polisi yang telah ditetapkan oleh TNB.

“Saya seterusnya memaklumkan kepada Datuk Seri Zahid berkenaan kredibiliti, latar belakang dan penglibatan Datuk Wasi Khan dalam bidang perniagaan. Datuk Seri Zahid percaya bahawa saya tidak akan membawa individu sembarangan untuk berjumpa dengan Datuk Seri Zahid melainkan saya yakin dengan kebolehpercayaan individu tersebut,” katanya yang mengenali Wasi Khan selama 20 tahun.

Katanya dalam fahamannya wang RM10 juta yang diberikan oleh Ahmad Zahid kepada Wasi Khan adalah masih berbentuk pelaburan tanpa apa-apa kerugian kepada pengeluaran wang tersebut, walaupun ia tidak disebut oleh Ahmad Zahid ketika pertemuan di antara mereka bertiga.

“Saya juga mengetahui Datuk Seri Zahid merupakan bekas ahli perbankan dan mempunyai pengetahuan mengenai perkara ini. Jumlah RM10 juta adalah bertujuan semata-mata untuk membolehkan syarikat Armada Holdings layak untuk membida tender sebagai syarikat pembekal arang batu kepada TNB yang dipercayai akan memberikan pulangan yang baik kepada syarikat sekiranya berjaya dan bukan untuk tujuan lain,” katanya.

Beliau berkata pada akhir perbincangan, Ahmad Zahid bersetuju untuk terlibat dengan membantu menyediakan dana sebanyak RM10 juta dan selepas menerima dana itu, Wasi Khan menubuhkan Armada Holdings Sdn Bhd dengan jumlah modal berbayar berjumlah RM10 juta dan beliau juga adalah Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung.

Berita berkaitan
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
24 jam lalu· Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
24 jam lalu· Isu semasa
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
April 26, 2024· Politik
Anwar bantah permohonan ujian poligraf dibuat Yusoff Rawther: Laporan
March 30, 2024· Politik
Popular
Netizen persoal isu ‘roadtax’, MyJPJ jika bawa kenderaan orang lain
February 10, 2023
Rasuah RM2 juta: Zahid sebut peranan Najib ‘arah lulus’ projek visa
May 26, 2022
Wisma Jakel terbakar lagi: Bomba siasat disengajakan atau bara api
January 3, 2023
Tiga bersaudara lemas berkelah di Sungai Lata Changkah di Setiu
June 11, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok