
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na'aman.
Langkah untuk membawa pakar daripada agensi perumahan Singapura, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) terus dikritik dan dipertikaikan keperluannya.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman mempersoalkan adakah negara sudah tiada pakar tempatan sehingga kerajaan terpaksa mendapatkan khidmat pakar luar untuk menyelesaikan masalah perancangan bandar di Malaysia.
“Soalnya apa istimewa HDB Singapura hingga Menteri KPKT (Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan) dari DAP beriya-iya benar nak bawa masuk ke Malaysia?.
“Dah pupus ke pakar-pakar perancangan bandar tempatan atau ada udang di sebalik batu untuk menyusun struktur penduduk dan pemilikan hartanah negara kita menjadi seperti Singapura?. Nampaknya tembelang dan kiblat sebenar DAP dah mula keluar,” katanya dallas satu kenyataan hari ini.
Faiz juga menyatakan kebimbangan disebalik keputusan kerajaan tersebut yang mempunyai muslihat dengan memberi contoh senario yang sudah berlaku di Pulau Pinang.
“Saya bimbang ada ‘grand design’ politik yang besar di sebalik usaha ini, kita tahu DAP sudah lama membawa masuk model HDB Singapura dan HKHA Hong Kong di Pulau Pinang.
“Lihatlah apa jadi kepada Pulau Pinang dan pemilikan hartanah di sana. Agenda halus yang disusun menyebabkan ramai yang hanya mampu melihat rumah atau projek pembangunan, khususnya di kawasan pulau, sedangkan orang lain membelinya,” katanya lagi.
Sebelum ini, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, mengumumkan kerajaan Singapura bersetuju menghantar beberapa pakar HDB bulan depan untuk berkongsi kepakaran dengan Malaysia dalam usaha memantapkan lagi sektor pembinaan perumahan awam negara.
Langkah itu, jelas Kor Ming adalah antara komitmennya untuk memberi tumpuan khusus kepada sektor perumahan, selain menyatakan kesediaan untuk mempelajari daripada negara lain.
Ia termasuk dari Jepun dan China sebagai langkah mereformasi sektor perumahan negara.