
Pengguna dinasihatkan menggunakan mod pembayaran sama ketika masuk dan keluar dari lebuh raya bagi melancarkan perjalanan. - Gambar LLM
Beberapa lebuh raya utama keluar dari Lembah Klang pada Sabtu (4 Jun 2022) dilaporkan sesak berikutan pertambahan kenderaan sempena cuti penggal persekolahan yang bermula hari ini.
Menurut laman sesawang Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) trafik dilaporkan sesak di Lebuhraya PLUS arah utara iaitu di Slim River ke Sungkai akibat bottle neck; Tapah ke Gopeng (kawasan mendaki Gua Tempurung); dan Rawang Selatan ke Layby Rawang.
Turut mengalami kesesakan sejak jam 8 pagi tadi ialah laluan Sungai Buloh (Utara) ke Sungai Buaya; Ipoh (Utara) ke Sungai Perak; Kuala Kangsar ke Changkat Jering; Bandar Baharu ke Jawi; Permatang Pauh ke Sungai Dua; Permatang Pauh ke Juru; Juru Auto City ke Plaza Tol Juru dan Ipoh (Selatan) ke Simpang Pulai.
Bagi arah selatan pula aliran trafik dilaporkan sesak di Skudai ke Senai; Sedenak ke Simpang Renggam; Kajang ke Nilai; Seremban ke Senawang; Ayer Keroh ke Jasin; Yong Peng ke Yong Peng Utara dan Simpang Renggam ke kawasan rehat dan rawat (R&R) Machap.
Bagi Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak, trafik dilaporkan sesak dari Genting Sempah ke Bukit Tinggi terus ke Bukit Tinggi dan sebelum masuk Plaza Tol Gombak arah Kuantan.
Kesesakan dijangka berterusan di lokasi berkenaan terutama ke arah Utara, Selatan dan Timur Semenanjung sehingga tengah malam ini.
LLM juga menjangkakan keadaan trafik akan kembali sesak ke arah Utara, Selatan dan Timur bermula jam 9.30 pagi hingga lewat petang pada 5 Jun ini manakala, pada 6 Jun kesesakan dijangka berlaku di lokasi berkenaan dari arah Utara, Selatan dan Timur menuju ke Kuala Lumpur.