
Bekas Ketua Pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan pecah amanah jenayah. - Gambar Bernama
Bekas Ketua Pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid, hari ini dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada tuduhan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan dana RM50.4 juta milik kerajaan.
Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain ketika perbicaraan pagi ini dan pihak pendakwaan tidak membantah permohonannya untuk mengubah perintah awal yang diberikan pada 12 April tahun lepas.
Keputusan itu bermakna Hasanah tidak boleh didakwa dan dibicarakan semula atas kesalahan sama mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, menurut laporan MalayMail.
“Saya sedar dan saya akan kekal setia dan teguh kepada undang-undang bahawa mahkamah mempunyai kuasa untuk memberikan pembebasan terutamanya apabila Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah digunakan oleh pihak pendakwaan.
“Berdasarkan fakta bahawa pihak pendakwaan tidak mahu dalam menjalankan perkara itu, mahkamah ini akan memberikan pelepasan ke atas pemohon.
“Menurut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah, mahkamah mempunyai kuasa untuk membuat keputusan. Pihak pendakwaan tidak lagi mempunyai keinginan untuk meneruskan kes, maka mahkamah mempunyai kuasa memberikan perintah dilepaskan dan dibebaskan.
“Tidak adil untuk pertuduhan ini terus tergantung di kepalanya lebih dari setahun. Keadilan tidak dilaksanakan dengan cara sedemikian,” kata Roz Mawar ketika menyampaikan penghakiman selepas hujahan peguam Hasanah, Datuk Suhaimi Ibrahim.
Timbalan pendakwa raya Mohd Fairuz Johari, yang hadir bagi pihak Jabatan Peguam Negara, tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan Hasanah tetapi bersetuju bahawa pembebasan penuh adalah pengakhiran yang “sesuai” bagi kes itu.
Hasanah didakwa pada 25 Oktober 2018 kerana melakukan CBT lebih AS$12.1 juta (RM50.4 juta) dana milik kerajaan Malaysia.
Pada 12 April tahun lalu, dia hanya dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan pecah amanah selepas pihak pendakwaan ketika itu memaklumkan terdapat penemuan baharu berkaitan kes berkenaan.
Ketika itu, pendakwaan memaklumkan Hasanah akan dituduh dengan pertuduhan baharu berdasarkan kepada penemuan itu.
Bagaimanapun, susulan keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi hari ini, Hasanah tidak boleh lagi didakwa di atas pertuduhan sama.
Pada 25 Oktober 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah atas tuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik Kerajaan Malaysia.
Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan JPM, Kompleks JPM, Putrajaya di antara 30 April dan 9 Mei 2018.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta denda.