
Kereta Proton Wira dipandu anggota polis Senawi Jelani, yang maut dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Kilometer 134.7 (arah selatan) Lebuhraya Utara-Selatan dekat Pagoh awal pagi tadi, 14 September 2022. Gambar ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor
Dua lelaki termasuk seorang anggota polis maut dalam kemalangan empat kenderaan di laluan selatan Lebuhraya Utara-Selatan dekat Pagoh awal pagi tadi.
Anggota polis Senawi Jelani, 55, dan pemandu lori K Gunalan, 45, mengalami kecederaan parah di kepala dan badan. Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat perlanggaran di Kilometer 134.7 Lebuhraya Utara-Selatan,
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh, Pegawai Bomba Kanan II Ramli Abd Rahman berkata pusat gerakan Johor menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 4.48 pagi.
Beliau berkata, seramai 16 anggota bomba dari Balai Bomba Pagoh dan Bukit Gambir bergegas ke lokasi diiringi unit Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS).
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Wira, sebuah lori Hino membawa air minuman dan dua treler yang mengangkut besi dan palet kayu.
“Empat mangsa terlibat dalam rempuhan itu terdiri daripada tiga warga tempatan dan seorang lelaki dari India.
“Akibat kemalangan itu, mayat dua mangsa yang maut tersepit di dalam lori dan kereta.
“Si mati dikenal pasti sebagai anggota polis yang menaiki Proton Wira, manakala seorang lagi mangsa dalam lorinya,” kata Ramli dalam satu kenyataan hari ini.
Ramli berkata, mayat kedua-dua lelaki itu kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut selepas anggota bomba mengeluarkannya daripada kenderaan.
Beliau menambah dua lelaki yang terselamat dikenali sebagai A Annadurai, 20, (warga India) dan Zamri Hashim, 29.
“Kedua-duanya terselamat dalam rempuhan itu dan dirawat oleh pegawai perubatan di tempat kejadian . Keseluruhan operasi tamat pada jam 8.30 pagi,” katanya.