
Kes rasuah 1MDB merupakan kes berprofil tinggi yang pernah dibicarakan dalam sejarah negara.
Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz memberitahu keluarganya tidak pernah mengambil wang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), lapor Malaysiakini.
Zati yang merupakan saksi pendakwaan ke-46 itu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang tadi semasa perbicaraan kes rasuah 1MDB membabitkan RM2.28 bilion ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Dia berkata demikian ketika menjawab soalan semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.
“Tiada seorang pun dalam keluarga saya pernah menerima atau mengambil wang 1MDB. Tiada satu sen pun,” katanya.
Pada 24 Februari tahun lalu, suami Zeti, Datuk Tawfiq Ayman melahirkan rasa terkejut berhubung dakwaan rasuah oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner terhadapnya.
Tawfiq mendakwa keterangan bekas jurubank di Mahkamah Daerah Timur New York itu tidak benar.
Leissner adalah saksi utama dalam perbicaraan mahkamah berkaitan 1MDB yang sedang dijalankan terhadap seorang lagi bekas pegawai Goldman Sachs, Roger Ng di Amerika Syarikat.
“Saya terkejut dengan kenyataan yang dibuat terhadap saya oleh Leissner, yang telah dilaporkan dalam media.
“Saya tidak mengenali Leissner atau Ng. Saya juga tidak pernah bertemu dan tidak pernah berkomunikasi dengan mereka.
“Saya ingin menyatakan secara mutlak bahawa sepanjang hidup saya, saya tidak pernah menerima sebarang rasuah daripada sesiapa.
“Memandangkan prosiding sedang berlangsung di New York, saya telah dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang ulasan lanjut kerana ia mungkin melibatkan subjudis.
“Kami akan mendapatkan nasihat undang-undang mengenai tindakan seterusnya yang akan diambil terhadap kenyataan yang dibuat terhadap saya,” kata Tawfiq.
Pasukan peguam Najib berulang kali mendakwa keluarga Zeti telah menerima dana 1MDB melalui beberapa syarikat di Singapura.
Perbicaraan jenayah itu dijalankan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Najib menghadapi empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion daripada 1MDB, sebuah dana kekayaan negara Malaysia yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).
Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.
Perbicaraan akan bersambung semula pada 14 Ogos.