
Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 adalah antara janji Pakatan Harapan.
Kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) sekali lagi menegaskan bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) tidak akan dimansuhkan walaupun ia merupakan salah satu janji dalam manifesto PH.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal (PH-Warisan Lahad Datu) berkata akta itu lebih sesuai dipinda selepas melihat kepentingannya dalam urusan penubuhan, tadbir urus dan hubungan antara akauntabiliti institusi pengajian tinggi bersama kerajaan dan masyarakat.
Beliau berpandangan, AUKU adalah akta penting, relevan dan berfungsi dengan baik.
“Sebarang kelemahan dalam AUKU boleh diperhalusi dan ditambah baik melalui pindaan, bukan pemansuhan secara keseluruhan.
“Pengenalan akta baharu bagi menggantikannya hanya akan mengambil kembali dan mengguna pakai semula kebanyakan peruntukan sedia ada seperti di dalam AUKU.
“Tindakan ini tidak ubah seperti sekadar menyalin kulit,” katanya menjawab soalan Chow Yu Hui (PH-Raub) mengenai pemansuhan AUKU dan menggantikannya dengan Akta Pendidikan Tinggi Baharu di Dewan Rakyat, hari ini (16 Mac 2023).
Sebelum ini, Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya (AMUM) menggesa kerajaan PH-BN memansuhkan AUKU seperti yang dijanjikan dalam manifesto PH.
Menurut kenyataan media, AMUM juga menggesa semua ahli Parlimen untuk bersama-sama menekan kerajaan bagi memansuhkan undang-undang tersebut.
Pelaksanaan AUKU lebih banyak menekan dan menyekat hak mahasiswa dan ahli akademik untuk bersuara dan mengkritik dan hanya memberi manfaat kepada orang politik dengan cara memberikan mereka kuasa mutlak dalam menentukan pentadbiran universiti di Malaysia.