Sembilan belas warga asing yang cuba keluar dari negara ini menerusi Sungai Serdang Besar dekat Kapar, Selangor kira-kira jam 1 pagi tadi, hampir lemas selepas tongkang dinaiki karam setelah merempuh bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Kumpulan pendatang asing itu dikesan cuba menyusup keluar menuju sempadan perairan Malaysia-Indonesia dalam operasi – Op Benteng Laut dan Op Ehsan – bot peronda Penggalang 41 Maritim Malaysia, sebelum memintasnya.
Semua mereka yang menaiki tongkang kayu tanpa memasang lampu dikesan pada kedudukan sekitar 2.5 batu nautika di barat Sungai Serdang Besar kira-kira jam 1 pagi tadi.
Tongkang itu bagaimanapun merempuh bot Maritim Malaysia apabila dipintas menyebabkannya karam. Bot Maritim juga mengalami kerosakan, tetapi semua anggota selamat, kata Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Mohd Rosli Kassim.
Semua mereka berjaya diselamatkan anggota Penggalang 41 dengan bantuan dua aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan satu aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang juga turut serta dalam operasi itu.
Pemeriksaan mendapati tongkang berkenaan membawa 19 warga asing termasuk tekong, terdiri daripada 16 lelaki dan dua wanita warga Indonesia, serta seorang lelaki warga Pakistan dalam lingkungan umur 20 hingga 45 tahun.
Kesemua suspek ditahan, 12 daripadanya gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, manakala tujuh lagi mempunyai pasport tanpa cop keluar atau masuk secara rasmi.
“Kes akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 iaitu keluar Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan dan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.
“Maritim Malaysia meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam,” katanya.