Zaman Parti Warisan Sabah (Warisan) telah berlalu, kerana rakyat sudah hilang kepercayaan kepada parti yang dipimpin oleh bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, kata Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berhujah bahawa populariti Warisan semakin susut kerana ramai yang menolak parti itu sejak akhir-akhir ini.
“Malah, di kawasan Parlimen Semporna (diwakili Shafie) sendiri pun, berpuluh-puluh ahli dan pemimpin dari pelbagai cawangan Warisan telah mengumumkan mereka keluar untuk menyertai komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya semalam.
Nizam yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri mendakwa penafian Shafie mengenai ribuan pemimpin dan ahli yang dikatakan meninggalkan 69 cawangan Warisan di bahagian Semporna, adalah satu cara untuk menutup kelemahan dirinya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Apas itu juga mendakwa ramai lagi ahli dari pelbagai cawangan Warisan bercadang untuk memberi sokongan kepada Gagasan Rakyat.
Gagasan Rakyat merupakan parti utama GRS, antara lima parti yang turut dianggotai Parti Bersatu Sabah (PBS), Sabah STAR, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno).
Shafie pada Ahad (19 Mac) berkata Warisan sedang menilai rakan kongsi yang sesuai untuk bekerjasama dalam pilihan raya akan datang, terutamanya Pilihan Raya Negeri.
Sambil berkata parti itu tidak akan menghadapi pilihan raya Sabah sendirian, Ahli Parlimen Semporna itu berkata mereka sedang mempertimbangkan kerjasama dengan beberapa parti, termasuk UMNO, tetapi parti itu belum memutuskan perkara berkenaan.