Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menegaskan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) adalah penyakit bukan zoonotik yang tidak menjangkiti manusia.
Menurut agensi itu dalam satu kenyataan semalam berkata orang awam tidak perlu bimbang untuk berkunjung ke kawasan kes dilaporkan.
“Pihak Jabatan mengambil maklum bahawa terdapat kekeliruan yang tular baru-baru ini berkaitan penyakit ASF.
“Untuk makluman, penyakit ASF adalah penyakit bukan zoonotik dan ia tidak menjangkiti manusia. Sehubungan dengan itu orang awam tidak perlu bimbang untuk mengunjungi Port Dickson,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini tular di aplikasi WhatsApp yang melarang orang ramai mengunjungi Port Dickson sambil berkongsi surat edaran JPV berkait makluman kes ASF di Negeri Sembilan.
Sebelum itu, Pengarah JPV Negeri Sembilan, Dr Kamarulrizal Mat Isa berkata satu kes tersebut dikesan dari kematian seekor babi hutan jantan dewasa di Ladang Sengkang, Pasir Panjang, Port Dickson.
Dalam pada itu, JPV berkata surat makluman itu dikeluarkan pada 10 Januari lalu bagi memaklumkan kepada orang awam dan pemain industri tentang kejadian penyakit ASF di Port Dickson.
“Ini adalah salah satu langkah yang diambil oleh JPV untuk membendung penyakit ASF merebak di Negeri Sembilan. Kerjasama orang awam dan pemain industri adalah diperlukan untuk melapor kepada pihak JPV sekiranya terdapat kejadian kematian melibatkan babi hutan atau ternakan babi supaya tindakan boleh diambil dengan segera.
“Pihak jabatan sekali lagi memohon jasa baik semua agar tidak menularkan berita yang tidak tepat dan segera merujuk kepada pihak jabatan untuk mendapatkan maklumat lanjut,” kata kenyataan itu lagi.
Penternak dan orang awam turut diminta melaporkan sebarang kematian babi hutan, babi kampung atau babi komersial kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah (PPVD) atau Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri yang berdekatan atau menerusi hotline Bilik Pengurusan Krisis Penyakit, Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar Putrajaya di talian 03-8870 2041 atau JPVNS di talian 06-762 8857.