Lima ADUN UMNO kekal sokong Hajiji, tak ikut Bung Moktar

January 9, 2023 · Politik

Walaupun UMNO-Barisan Nasional (BN) Sabah menarik sokongan terhadap kerajaan negeri diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS), namun lima wakilnya enggan mengikut ketetapan yang dibuat Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO tersebut kekal menyokong Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan tidak patuh dengan arahan Pengerusi UMNO Sabah tersebut yang memulakan langkah untuk menggulingkan kerajaan GRS.

ADUN terbabit ialah Datuk Ir Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk James Ratib (Sugut).

Malah, kelim-lima ADUN tersebut juga sedia berdepan sebarang tindakan termasuk dipecat dari parti itu.

Semalam, Shahelmey yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, berkata mereka sudah menghantar akuan bersumpah (SD) menyatakan sokongan Hajiji.

Beliau menegaskan tidak akan menarik balik SD dan sokongan yang diberi kepada Hajiji walaupun ada desakan daripada UMNO kerana kekal dengan pendirian tidak bersetuju menukar kerajaan negeri pada masa ini.

“Sokongan saya kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor tidak berubah sebab tiada alasan untuk kita mengubah kerajaan negeri yang ada sekarang.

“Saya juga tidak mengubah pendirian terhadap parti dan saya masih ahli UMNO dan kalau ada tindakan terhadap saya, saya serahkan kepada parti,” katanya dipetik laporan media.

Sebelum ini, Jasnih yang juga Pembantu Menteri Kewangan negeri, turut menyatakan kesediaan dipecat daripada parti berikutan keputusannya kekal menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri.

Beliau mengakui ada diminta menandatangani SD untuk mengubah kerajaan sekarang kepada kerajaan gabungan BN dan Parti Warisan (Warisan) dengan Bung Moktar dilantik sebagai Ketua Menteri baharu.

“Saya mengambil keputusan tidak menyokong perubahan kerajaan kerana beberapa faktor yang diambil kira dari sudut profesional dan peribadi.

“Saya akan terus menyokong kerajaan di bawah kepemimpinan Hajiji selagi saya bergelar ADUN Pantai Dalit.

“Saya faham risiko tindakan saya ini dan bersedia serta terbuka untuk menerima hukuman atau dipecat daripada UMNO,” katanya.

Menerusi kenyataan bersama kelima-lima ADUN terbabit sebelum ini, mereka menekankan mahu kestabilan politik di Sabah dikekalkan dan menolak sebarang percubaan atau tindakan mana-mana pihak yang ingin menimbulkan kekacauan dan keresahan rakyat.

Sebelum ini, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri, dilaporkan berkata, lima ADUN terbabit bakal dikenakan tindakan disiplin jika tidak mematuhi keputusan parti yang dipersetujui sebulat suara.

Jumaat lalu, Bung Moktar mengumumkan keputusan BN dan UMNO Sabah menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri yang ditubuhkan bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada September 2020.

Tindakan itu, katanya, selepas hilang kepercayaan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri yang didakwa melanggar perjanjian dengan BN sebelum ini, termasuk memecat Pengarah Pilihan Raya BN Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak sebagai Pengerusi Qhazanah Sabah Bhd (QSB).

Berita berkaitan
Pegawai Kor Ming diletak calon DAP pada PRK Kuala Kubu Bharu
April 24, 2024· Politik
Tengku Zafrul hanya hadir sekali ke mesyuarat UMNO Selangor, kata Megat
April 22, 2024· Politik
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024· Politik
UMNO kekal pendirian beri laluan kepada calon DAP, kata Mat Hasan
April 22, 2024· Politik
Popular
Saingan empat penjuru PRK Kuala Kubu Bharu, tiada wakil MCA berarak
April 27, 2024
Ibu, suami dan anak temani Mas Ermieyati sebelum ke pusat penamaan calon
November 8, 2021
Terdapat ‘kesilapan fakta’ dalam afidavit Zahid, kata Tengku Zafrul
April 18, 2024
Warisan tak bersekongkol dengan parti lain: Azis Jamman
March 5, 2022
Lagi Politik terkini
Saingan empat penjuru PRK Kuala Kubu Bharu, tiada wakil MCA berarak
April 27, 2024 · Politik
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
April 26, 2024 · Politik
PRK KKB: PN letak calon tempatan lawan calon DAP dari Ampang
April 26, 2024 · Politik
Tengku Zafrul mohon kebenaran betulkan fakta Zahid dalam kes pengampunan Najib
April 22, 2024 · Politik
Kor Ming mahu UMNO bantu habis-habisan calon DAP di Kuala Kubu Bharu
April 22, 2024 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok