UMNO jangan kemaruk desak pilihan raya lagi selepas ini

May 12, 2021 · Politik

Jangan lagi timbul desakan supaya pilihan raya disegerakan selepas ini jika mahu negara keluar daripada krisis penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan ketika ini.

Realitinya, negara masih belum lagi bebas daripada serangan virus membunuh tersebut dan tindakan UMNO bersama blok pembangkang yang tidak putus-putus memberi tekanan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya mengadakan pilihan raya merencatkan usaha dan fokus untuk menghapuskan wabak tersebut daripada bumi Malaysia.

Ketika kerajaan hampir berjaya dalam menurunkan jumlah kes jangkitan, pemimpin UMNO pula tidak habis-habis berpolitik, bermula daripada surat sokongan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sehingga lah ke episod kecaman tidak sudah semasa Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU) pada Mac lalu.

Klip audio perbualan Zahid dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah cukup membuktikan pemimpin atasan UMNO terutamanya kumpulan yang dilabel Kluster Mahkamah sibuk mencatur strategi politik untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Di mata Zahid, Najib dan Anwar, ada sahaja perkara tidak kena dengan keputusan dan langkah yang diambil kerajaan ke arah untuk memulihkan ekonomi negara dan rakyat jelata yang semakin tersempit ketika ini.

Malah, didesak pula agar perisytiharan darurat ditamatkan supaya sidang Parlimen dibuka, sudah pastinya Zahid dan Anwar merancang sesuatu memandangkan sudah terbongkar pakatan sulit kedua-dua pemimpin parti itu.

Zahid selaku anak murid setia kepada Anwar hanya tunduk dan patuh kepada mentornya sejak zaman menjadi Ketua Pemuda UMNO, segala bentuk serangan dan kecaman terhadap kerajaan PN dikhuatiri juga adalah atas nasihat ketua pembangkang tersebut.

Entah apa yang diracun Anwar kepada Zahid supaya mengikut telunjuknya, namun sumber UMNO tidak menolak Zahid kini terdesak dengan kes mahkamah yang sedang dihadapinya, selepas Najib sudah dijatuhi hukuman dalam pertuduhan kes SRC International.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib setelah mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan, melibatkan RM42 juta dana SRC International.

Zahid pula menghadapi 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 28 hingga 30 Jun serta 1 dan 2 Julai untuk pihak pendakwaan dan pembelaan berhujah secara lisan sebelum mahkamah memutuskan sama ada membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan itu atau memerintahnya membela diri.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan pemimpin UMNO terlalu sibuk berpolitik khususnya kumpulan Kluster Mahkamah yang tidak berhenti mendesak kerajaan supaya mengadakan pilihan raya atas alasan supaya dapat membentuk sebuah kerajaan yang stabil walhal mereka adalah punca huru-hara politik yang sedang dihadapi ketika ini.

“Saya lihat ini contoh seorang pemimpin UMNO yang tak habis-habis dengan berpolitik. Walaupun rakyat sedang susah, dia asyik nak berpilihan raya. Seolah-olah tak nampak masalah Covid dan masalah ekonomi yang melanda negara.

“Yang jelas ialah dia terlalu ‘detached’ dari denyut nadi rakyat. Rakyat minta lain, dia dan kawan-kawan ‘kluster merungut’ ini tak habis lagi merungut mengenai pilihan raya,” katanya kepada Agenda Daily.

Wan Saiful juga membidas kenyataan pusingan-U yang dibuat oleh Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang mengatakan mereka menimbang untuk kekal menyokong kerajaan PN kerana kes Covid-19 yang semakin meningkat.

“Jangan nak rumitkan keadaan, ini adalah darurat kesihatan, tak ada kena mengenai dengan politik. Kita tak faham apa UMNO nak sebenarnya. Dia (Tajuddin) tahu bila Covid pulih semuanya?

“Kalau sebelum Ogos Covid-19 menurun, adakah UMNO akan buat kenyataan untuk tiba-tiba tarik sokongan kepada PN pula?

“Mana Tajuddin tahu Covid ni nak habis bila?” katanya lagi.

Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini memutuskan untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu dalam gabungan PN sehingga Ogos ini sahaja.

Ia keputusan terbesar yang dibuat UMNO dengan mengambil kira pandangan daripada setiap perwakilan yang hadir pada perhimpunan tersebut.

Perdana Menteri, Muhyiddin pada Isnin mengumumkan Malaysia sekali lagi melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara bermula Rabu hingga 7 Jun, sebagai usaha untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat.

Berita berkaitan
Pegawai Kor Ming diletak calon DAP pada PRK Kuala Kubu Bharu
April 24, 2024· Politik
Tengku Zafrul hanya hadir sekali ke mesyuarat UMNO Selangor, kata Megat
April 22, 2024· Politik
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024· Politik
UMNO kekal pendirian beri laluan kepada calon DAP, kata Mat Hasan
April 22, 2024· Politik
Popular
Anwar puas hati tiada menteri terlibat rasuah, perbicaraan rasuah Zahid dihentikan?
November 24, 2023
Pengundi sudah matang: Hamzah
October 17, 2022
Anwar bantah permohonan ujian poligraf dibuat Yusoff Rawther: Laporan
March 30, 2024
PAS faham dan jaga semua kaum: Muhyiddin
March 5, 2022
Lagi Politik terkini
Saingan empat penjuru PRK Kuala Kubu Bharu, tiada wakil MCA berarak
April 27, 2024 · Politik
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
April 26, 2024 · Politik
PRK KKB: PN letak calon tempatan lawan calon DAP dari Ampang
April 26, 2024 · Politik
Tengku Zafrul mohon kebenaran betulkan fakta Zahid dalam kes pengampunan Najib
April 22, 2024 · Politik
Kor Ming mahu UMNO bantu habis-habisan calon DAP di Kuala Kubu Bharu
April 22, 2024 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok