Keadilan tanpa pilih kasih akan angkat martabat Islam: Agong

September 5, 2022 · Isu semasa

Pelaksanaan undang-undang perlu dilaksanakan tanpa pilih kasih memilih darjat seseorang individu, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Baginda berkata prinsip keadilan tanpa memilih status seseorang penting kerana ia berjaya mengangkat martabat Islam semasa zaman Rasulullah, malah dapat menaikkan nilai sesebuah masyarakat itu.

“Keadilan yang diamalkan tanpa memilih kasih berjaya mengangkat martabat Islam pada zaman Rasulullah.

“Prinsip keadilan yang telus dan terbuka turut berjaya membangunkan masyarakat yang adil, saksama, makmur dan sejahtera,”titahnya.

Tuanku bertitah demikian dalam titah diraja sempena Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Kuantan yang dimasyhur dengan nama Kompleks Syariah Al-Sultan Abdullah di sini pada Isnin.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong,Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang,Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Menurut Sultan Abdullah lagi, mahkamah syariah juga perlu berfungsi untuk melaksanakan keadilan berasaskan bidang kuasa yang diberikan undang-undang dan perlembagaan selaras dengan hukum syarak.

“Berpandukan prinsip keadilan dalam Islam, mahkamah ini juga perlu bijak menggunakan kuasa budi bicara dan sentiasa berlaku adil kepada semua pihak dalam menjatuhkan hukuman terutama yang melibatkan kes-kes kekeluargaan.

“Ia termasuk mengkaji hukuman berbentuk kerja sosial bagi kes-kes tertentu supaya tidak berlaku penindasan dan diselesaikan secara budi bicara.

“Ia kerana prinsip keadilan menurut Islam ialah menjunjung amanah tuhan dan bukannya mewakili kuasa tuhan,”titahnya.

Al-Sultan Abdullah bertitah, kuasa menghukum dan memberikan pengampunan juga tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ia bakal dipertanggungjawabkan kelak.

“Jika undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil pasti keadilan tidak akan tercapai kerana falsafah disebalik penggubalan sesuatu undang-undang itu telah ternoda.

“Jika perkara itu berlaku, pihak yang lemah akan menjadi mangsa kepada pihak memiliki kuasa dan menjadi titik permulaan menghalalkan penindasan dan kezaliman dalam sistem pemerintahan.

“Justeru, mahkamah syariah perlu mempunyai kecekapan dalam mengendalikan kes agar keadilan dapat dicapai,” titah Seri Paduka Baginda.

Dalam titahnya itu, Al-Sultan Abdullah meminta Hakim Syarie memastikan kes-kes yang dikendalikan dihakimi seadil-adilnya dan penghakiman dapat dilaksanakan dengan segera.

“Pada masa sama, pegawai mahkamah dan peguam syarie turut bertanggungjawab secara kolektif dalam menentukan prosiding mahkamah berjalan lancar,”ujarnya.

Titah Seri Paduka Baginda lagi, hakim syarie, pegawai mahkamah dan peguam syarie mempunyai tanggungjawab kepada pihak yang dibicarakan, tanggungjawab sosial kepada negara dalam mempertahankan integriti mahkamah dan melindungi kesucian Islam.

Sementara Al-Sultan Abdullah berkata, perasmian dan pemasyhuran bangunan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang menjadi simbolik dan mercu tanda ketinggian institusi mahkamah syariah di negara ini.

“Saya telah disembah maklum bahawa kompleks mahkamah ini telah siap sepenuhnya 23 September tahun lalu dengan kos RM44.75 juta.

“Ketika ini hampir semua negeri memiliki kompleks perundangan syariah yang lengkap dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” titahnya.

Menurut Seri Paduka Baginda, kompleks mahkamah syariah yang sempurna terbina itu mampu memainkan peranan besar dalam menyampai dan mengembangkan syiar Islam.

“Diharapkan lebih banyak lagi usaha dilaksanakan untuk meningkatkan institusi Mahkamah Syariah di negara ini,” titahnya.

Tambah Seri Paduka Baginda lagi, sebarang usaha memperkasakan mahkamah syariah di negara ini sentiasa disokong tanpa berlaku diskriminasi kepada mana-mana pihak kerana prinsip utama undang-undang syariah adalah keadilan kepada semua.

Sementara itu dalam titahnya, Al-Sultan Abdullah meminta pihak berkaitan meneliti kembali cadangan hukuman diyat supaya ia dapat dilaksanakan dalam sistem keadilan di negara ini.

Berita berkaitan
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
April 26, 2024· Politik
Anwar bantah permohonan ujian poligraf dibuat Yusoff Rawther: Laporan
March 30, 2024· Politik
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024· Isu semasa
Selepas Zahid, Isa Samad juga dibebas daripada tuduhan rasuah RM3 juta
March 6, 2024· Politik
Popular
Selepas harga barang asas, kini harga besi dan simen juga naik pada Januari
February 8, 2023
Baik dan buruk apabila guru berpolitik
February 7, 2022
Minyak botol vs minyak peket
July 20, 2022
Penganggur mengaku tak bersalah buat hantaran hina Sultan Johor
April 28, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok