Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa yayasan amalnya – Yayasan Akalbudi (YAB) – menggunakan RM8.6 juta pada 2016 untuk membeli saham hotel di Bali, Indonesia sebagai “pelaburan”, dan menafikan anak perempuannya mempunyai kepentingan peribadi dalam perkara itu.
Memberi keterangan membela diri dalam perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram, Zahid mengesahkan bahawa dana dalam akaun firma guaman Lewis & Co, telah digunakan pada 2016 untuk membeli saham pengendali hotel Ri- Yaz Assets Sdn Bhd.
Ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong sama ada anaknya Datuk Nurulhidayah juga mempunyai kepentingan dalam pelaburan yang didakwa ini, Zahid tidak bersetuju.
“Saya menyatakan bahawa ia adalah untuk tujuan pelaburan dan anak perempuan saya tidak mempunyai kepentingan peribadi, tidak memiliki saham, kecuali telah dipersetujui oleh syarikat itu untuk dia (Nurulhidayah) memantau pelaksanaan pelaburan itu bagi pihak YAB,” kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Tetapi Zahid mengesahkan bahawa “tiada perjanjian bertulis” yang menyatakan peranan Nurulhidayah, dan sebaliknya berkata ia adalah perjanjian lisan oleh pemegang saham utama Ri-Yaz, Tan Sri Rashid Abdul Manaf, dan pegawai utama syarikat itu.
Zahid kemudiannya berkata bahawa tidak ada keperluan untuk surat pelantikan bagi pengarah syarikat, dan borang yang difailkan oleh setiausaha syarikat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia adalah mencukupi untuk pelantikan individu sebagai pengarah bukan eksekutif atau jawatan lain.
Ditanya sama ada beliau sedar Ri-Yaz mengalami masalah kewangan berikutan hutang tertunggaknya kepada Bank Exim ketika itu, Zahid berkata pinjaman syarikat itu boleh menjadi salah satu sebab ia mencari pelabur baharu, tetapi mencadangkan syarikat itu juga berusaha untuk berkembang.
Apabila dicadangkan bahawa dia telah mengambil risiko dalam pelaburan dengan membeli saham syarikat itu, Zahid berkata: “Dalam pelaburan, pasti ada risiko, tetapi dalam perniagaan, apa yang dikatakan risiko juga mesti diambil kira, tetapi sentiasa ada sisi lain daripada syiling, apabila masalah dihadapi, pada masa yang sama, kita perlu melihat peluang.”
Ketika ditegaskan bahawa dia pernah berkata dana dalam akaun pelanggan Lewis & Co adalah daripada derma awam orang Islam dan bukan Islam untuk tujuan kebajikan, Zahid kemudian menegaskan bahawa objektif dalam perlembagaan syarikat YAB membolehkan yayasan itu menjalankan pelaburan untuk tujuan “menjana pendapatan tambahan” bagi kerja-kerja amal dan kebajikan yang berkaitan dengan agama.
Harris kemudian menyatakan bahawa pembelian saham hotel itu tidak berkaitan dengan masjid yang didakwa menjadi tujuan menderma jutaan ringgit kepada TAB, tetapi Zahid terus menegaskan bahawa yayasan itu perlu pada masa yang sama berusaha untuk membuat pelaburan demi menjana keuntungan agar dapat meneruskan kerja-kerja amal.
Zahid tidak bersetuju dengan cadangan Harris bahawa pembelian saham RM8.6 juta dalam hotel itu adalah untuk kepentingannya sendiri, selain menafikan pembelian berasingan dua rumah di Country Heights berharga RM5.9 juta menggunakan dana YAB adalah untuk kepentingan dirinya dan bukannya untuk kebajikan.
Mengesahkan bahawa dia hanya memberi arahan lisan kepada Lewis & Co untuk membuat pembayaran RM8.6 juta bagi pembelian saham hotel itu, Zahid juga berkata dia telah memberitahu secara lisan kepada firma guaman itu bahawa ia dimaksudkan sebagai “pelaburan”.
Harris: Setuju dengan saya bahawa tiada arahan diberikan secara bertulis, dan ini adalah semata-mata untuk melindungi kepentingan anda dalam kes ini.
Zahid: Tidak benar.
Harris: Begitu juga untuk arahan membeli dua lot banglo itu, tiada arahan secara bertulis diberikan, ia untuk melindungi kepentingan anda?
Zahid: Tidak sekali-kali, kerana ia bukan untuk kegunaan peribadi saya.
Dalam perbicaraan ini, Zahid menghadapi 47 pertuduhan, iaitu 12 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) berhubung RM31 juta dana YAB, 27 pertuduhan pengubahan wang haram, dan lapan pertuduhan rasuah.
Satu daripada 12 pertuduhan CBT melibatkan Zahid yang didakwa telah memindahkan RM17.9 juta wang YAB kepada Lewis & Co.
Sebelum Lewis & Co meletakkan RM17.9 juta yang diterima daripada YAB ke dalam simpanan tetap, hampir separuh daripada dana atau sekitar RM8.6 juta pada mulanya digunakan untuk pembelian saham dalam hotel itu, sebelum ia dikembalikan kepada firma guaman itu setelah perjanjian berkenaan gagal dan kemudian dimasukkan ke dalam simpanan tetap.
Pihak pendakwaan sebelum ini mencadangkan bahawa tujuan sebenar pemindahan RM17.9 juta kepada Lewis & Co adalah untuk memudahkan urusan pembelian saham, sambil mendedahkan pemindahan dilakukan pada 28 Jun 2016, manakala firma guaman telah mengeluarkan cek RM8.6 juta kepada syarikat hotel itu pada 30 Jun 2016.
Pihak pendakwaan juga telah mempersoalkan bagaimana perjanjian pembelian saham RM8.6 juta dalam hotel itu sesuai dengan matlamat YAB yang dinyatakan untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan kebajikan golongan miskin.
Peguam Zahid, Hisyam Teh Poh Teik sebelum ini berhujah bahawa perjanjian pembelian saham hotel itu tiada kaitan dengan pertuduhan pecah amanah jenayah melibatkan jumlah RM17.9 juta, kerana pertuduhan tidak menyebut perjanjian itu.
Perbicaraan Zahid di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.