Tindakan polis tahan saya untuk lindungi Najib: Khairuddin

April 27, 2021 · Isu semasa

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa penahanannya oleh pihak polis mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bertujuan melindungi Datuk Seri Najib Razak yang didakwa menyalah guna kuasa berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Khairuddin, 59, selaku plaintif ketika membacakan penyataan saksinya berkata penahanan oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar serta tujuh individu lain adalah semata-mata untuk menghalangnya pergi ke Paris, Switzerland, United Kingdom, Hong Kong dan Singapura bagi membantu pihak berkuasa di negara berkenaan bagi melengkapkan siasatan dan perbicaraan.

“Pendakwaan telah menggunakan peruntukan di bawah SOSMA terhadap saya antara lain menghalang kebebasan saya untuk bergerak ke luar negara bagi membantu siasatan pihak berkuasa di sana berhubung laporan polis (menyiasat mengenai isu 1MDB) yang telah saya serahkan dan bagi melindungi kleptokrasi serta salah guna kuasa bekas perdana menteri itu,” katanya pada hari kedua perbicaraan kes saman Khairuddin terhadap Khalid dan tujuh individu lagi berhubung penahanan dan pendakwaannya di bawah SOSMA.

Tujuh individu itu ialah ASP Wan Aeidil Wan Abdullah dan ASP C. Muniandy, kedua-duanya pegawai penyiasat di Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Timbalan Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi Supt Habibi Majinji, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud, Peguam Kanan Persekutuan Awang Armadajaya Awang Mahmud, bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Kerajaan Malaysia.

Memetik laporan Bernama, bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan itu berkata, laporan polis yang dibuat pada 12 Disember 2014 berasas dan terbukti apabila pihak berkuasa serata dunia telah menggerakkan agensi-agensinya untuk menyiasat dan menghalang daripada aset-aset negara Malaysia terus disedut keluar secara salah atau haram.

“Namun, apabila pihak-pihak berkuasa di Malaysia menjalankan siasatan, pihak-pihak ini telah disenyapkan oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dengan penukaran atau pemberhentian ketua-ketua yang terlibat, sebagai contoh Tan Sri Abdul Gani Patail (bekas Peguam Negara) yang mana tindakan itu telah membantutkan siasatan isu 1MDB.

“Selanjutnya, siasatan berhubung isu-isu 1MDB telah digantikan dengan orang-orang kepercayaan Datuk Seri Najib Razak atas pengaruh tidak wajarnya, sebagai contoh Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang antara lain membebaskan nama Najib daripada sebarang pertuduhan berhubung 1MDB.

“Walhal, Datuk Seri Najib Razak kini telah disabitkan bersalah di mahkamah berhubung isu SRC International Sdn. Bhd, yang mana adalah berkaitan dengan isu 1MDB,” katanya.

Sementara itu, disoal Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A. Dadi bahawa keseluruhan kes saman yang difailkan plaintif adalah menjurus dan berpunca daripada Najib, Khairuddin menjawab: “Tidak setuju”.

Beliau bersetuju dengan Andi Razalijaya bahawa pernyataan tuntutannya dan keterangan dalam penyataan saksinya menjurus kepada Najib, namun beliau tidak menjadikan bekas perdana menteri itu sebagai defendan dalam kes saman tersebut.

Khairuddin tidak bersetuju dengan cadangan Andi Razalijaya bahawa usahanya membawa laporan polis ke negara berkenaan (Paris, Switzerland, United Kingdom, Hong Kong dan Singapura) adalah untuk membuka kelemahan Malaysia kerana tidak mempercayai institusi Polis Diraja Malaysia dan mahu sabotaj perbankan dan kewangan negara.

Khairuddin yang memfailkan saman itu pada Mei 2018, mendakwa beliau telah ditahan pihak berkuasa pada 18 September 2015 mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan dan pada 23 Sept tahun sama selepas dibebaskan, plaintif ditahan semula mengikut SOSMA dan telah berada dalam tahanan sebelum dituduh di Mahkamah Majistret di sini mengikut Seksyen 124L akta sama atas dakwaan cuba melakukan sabotaj pada perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.

Secara keseluruhan, plaintif telah ditahan selama 60 hari di penjara Sungai Buloh dan pada 12 Mei 2017, mahkamah dimaklumkan pihak pendakwaan tidak akan meneruskan pendakwaan terhadap plaintif dan Khairuddin dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

Plaintif mendakwa tindakan semua defendan menahan dan mendakwanya di mahkamah dilakukan dengan niat jahat dan melanggar hak kebebasannya di bawah Perlembagaan Persekutuan selain mendakwa reputasi dan imejnya sebagai ahli politik telah terjejas.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon bersambung esok.

Berita berkaitan
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
April 29, 2024· Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
April 29, 2024· Isu semasa
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
April 26, 2024· Politik
Tengku Zafrul mohon kebenaran betulkan fakta Zahid dalam kes pengampunan Najib
April 22, 2024· Politik
Popular
Netizen persoal isu ‘roadtax’, MyJPJ jika bawa kenderaan orang lain
February 10, 2023
Banjir: Sesi pembelajaran 31 sekolah di Johor esok ditangguh
January 8, 2022
7 lelaki Pakistan ditahan disyaki terlibat pemerdagangan orang
June 14, 2023
Longkang berpotensi runtuh lagi
January 26, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok