Banjir semakin pulih, 10,065 di PPS

January 6, 2022 · Isu semasa

Situasi banjir di lima negeri menunjukkan perkembangan lebih baik malam tadi, apabila jumlah mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) terus menurun kepada 10,065 orang berbanding seramai 11,469 orang petang semalam.

Sementara jumlah mangsa banjir di Selangor pula dilaporkan masih sama, lapor Bernama.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 468 mangsa daripada 126 keluarga pada pukul 8 malam tadi berbanding 543 orang daripada 140 keluarga pada jam 4 petang semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata kesemua mangsa yang terjejas adalah dari 14 kawasan di Alor Gajah, sembilan kawasan di Melaka Tengah dan 14 kawasan di Jasin.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan mangsa banjir terus berkurangan malam tadi dengan 1,491 orang ditempatkan di 30 pusat pemindahan, berbanding 1,811 orang di 33 PPS petang semalam.

Kesemua mangsa melibatkan 454 keluarga itu ditempatkan di PPS Bera, Rompin, Pekan, Maran dan Temerloh, manakala PPS di Kuantan telah ditutup malam tadi.

Selain itu, beberapa jalan kekal ditutup antaranya Jalan Triang 1 di Bera, Jalan Ibam-Kampung Aur (Rompin), Jalan Teluk Ganchong Lepar (Pekan) dan Jalan Serengkam (Maran).

Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan sungai yang melebihi paras bahaya malam tadi masih Sungai Bera dan Sungai Serting kedua-duanya di Bera, selain Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan.

Di NEGERI SEMBILAN, data terkini menerusi aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan mangsa banjir menurun kepada 589 individu membabitkan 148 keluarga, dengan enam PPS dibuka setakat malam tadi berbanding 826 individu (213 keluarga) pada petangnya.

Di JOHOR, mangsa banjir terus menurun kepada 4,253 orang setakat 8 malam ini berbanding 4,942 orang petang semalam dengan penutupan enam lagi PPS.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor RVidyananthan dalam kenyataan malam tadi berkata empat PPS ditutup di Segamat manakala dua lagi masing-masing di Mersing dan Muar, menjadikan 64 PPS masih beroperasi di enam daerah.

Segamat masih mencatatkan mangsa tertinggi dengan 2,622 orang di 38 PPS, diikuti dengan Tangkak seramai 650 orang, Mersing (467), Muar (333), Kluang (128) dan Batu Pahat (53).

Sementara itu, tiga sungai masih mencatatkan paras bahaya iaitu Sungai Muar di Liang Batu, Muar; Sungai Pagoh di Kampung Olak Sepam, Muar; dan Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat, setakat pukul 9 malam tadi.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir di negeri ini juga turun walaupun tidak banyak berubah dengan 3,264 mangsa daripada 1,341 keluarga masih di PPS malam tadi, berbanding 3,347 orang daripada 1,319 keluarga petang semalam.

Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah, satu PPS iaitu Dewan Kampung Kiabau di Telupid telah ditutup dan 27 PPS masih dibuka di lima daerah terjejas banjir terletak di utara serta pantai timur di negeri ini.

Daerah Kota Marudu kekal mangsa banjir paling ramai dipindahkan dengan 2,668 mangsa daripada 1,161 keluarga di 14 PPS, diikuti Pitas (319 mangsa, 120 keluarga, 4 PPS), Telupid (173 mangsa, 43 keluarga, 6 PPS), Sandakan (45 mangsa, 7 keluarga, 1 PPS) dan daerah kecil Paitan (54 mangsa, 10 keluarga, 2 PPS).

Di SELANGOR pula, menerusi aplikasi Info Bencana JKM memaklumkan jumlah mangsa banjir di Selangor kekal 40 orang, melibatkan dua PPS di daerah Kuala Langat iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang (25 mangsa) dan Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Banting (15 mangsa).

Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam kini ditahap bahaya iaitu pada ketinggian 4.79 meter dengan trend menaik, manakala Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat di tahap waspada (3.43 meter) setakat 8.30 malam tadi.

Berita berkaitan
278 mangsa banjir di tiga negeri masih ditempatkan di PPS
January 17, 2024· Isu semasa
Banjir Kelantan: Penduduk di Kuala Krai terputus hubungan, jalan tenggelam
December 27, 2023· Isu semasa
Banjir: Kelantan dan Perak catat peningkatan mangsa dipindahkan
December 17, 2023· Isu semasa
Banjir di Johor: 538 orang dipindahkan ke PPS, paras sungai naik
December 1, 2023· Isu semasa
Popular
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024
Anwar bidas PM berhubung kelonggaran kepada pemimpin UMNO di Melaka
November 1, 2021
Ketua Pengarah KPPA sah ditamatkan khidmat, kata Zuki
December 13, 2022
47 kematian, kes aktif naik semula
November 24, 2021
Lagi Isu semasa terkini
Langkah Zafrul cuba perbetulkan fakta afidavit Zahid gagal, mahkamah tolak
16 jam lalu · Isu semasa
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
April 29, 2024 · Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
April 29, 2024 · Isu semasa
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok