Anwar bidas PM berhubung kelonggaran kepada pemimpin UMNO di Melaka

Susulan kelonggaran yang diberikan kepada pemimpin UMNO berkempen di Melaka, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang perlu bersikap adil.

Ketua Pembangkang itu berkata Ismail Sabri tidak harus berat sebelah berhubung pelanggaran sebarang prosedur operasi standard (SOP) di Melaka, malah krisis di Melaka juga berpunca daripada perebutan kuasa sesama pemimpin UMNO sendiri.

“Kita rasa kesal dengan keputusan UMNO Melaka yang tidak fikir panjang kesannya. Mereka mulakan punca ini, bebankan rakyat, susahkan rakyat kemudian nak suruh pilihan raya. Tapi tidak boleh kempen, tidak boleh jumpa orang. Ini pilihan apa?

“Tapi saya dengan Perdana Menteri dah bagi jaminan menjelaskan tentang SOP. Naik lori, cakap seorang diri, selepas itu kena denda RM10,000?” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar turut mempersoalkan kehadiran orang ramai dalam program UMNO seperti ditularkan dalam media sosial, ia secara tidak langsung merujuk kepada bekas PM Datuk Seri Najib Razak yang kerap turun ke Melaka berkempen dan didapati banyak orang melanggar SOP semasa menghadiri program bersamanya.

“Yang makan punya ramai orang, ada majlis itu tidak denda? Ini negara apa? Darjat apa yang mereka wakil? Saya tidak setuju sama sekali kalau pilihan raya dibuat dan dibiarkan, saya faham perkara ini mungkin sensitif bagi Perdana Menteri.

“Tapi dia Perdana Menteri bagi rakyat Malaysia, bukan Perdana Menteri untuk pemimpin UMNO sahaja,” katanya lagi.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan menetapkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya dilarang mulai 25 Oktober hingga 27 November 2021.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, larangan itu ditetapkan meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) PRN dalam masa terdekat.

Kompaun dikeluarkan kepada Barisan Nasional (BN), yang mengadakan majlis pelancaran jentera PRN Melaka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis lalu.

PKR turut dikenakan kompaun RM10,000 oleh pihak polis selepas mengadakan program penerangan bergerak yang didakwa tanpa kehadiran perhimpunan di Taman Krubong Jaya, pada Sabtu lalu.

BERITA BERKAIT
POPULAR