47 kematian, kes aktif naik semula

Seramai 47 lagi pesakit Covid-19 meninggal dunia dalam tempoh 24 jam semalam, turun berbanding 63 kes yang dilaporkan pada Isnin.

Menurut data yang dikumpul laman Covidnow kendalian Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini, jumlah itu menjadikan kumulatif kematian sebanyak 30,110, termasuk 6,087 pesakit yang meninggal dunia sebelum sempat diberi rawatan perubatan (BID).

Daripada jumlah kematian terbaharu itu, Kelantan merekodkan lapan kes menjadikan kumulatif di negeri itu sebanyak 1,131 kes, termasuk 246 kes BID.

Sehingga semalam negeri itu merekodkan 6,423 kes aktif, termasuk 4,922 pesakit yang menjalani kuarantin di rumah; 884 ditempatkan di PKRC; 576 dimasukkan ke hospital; dan 41 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 21 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sejak awal tahun lalu hingga semalam Kelantan mencatatkan 153,033 kes positif dengan 145,515 pesakit telah sembuh.

Sementara itu, Sabah pula merekodkan tujuh kematian; diikuti masing-masing lima di Melaka dan Selangor; dan masing-masing empat di Johor, Pulau Pinang, dan Sarawak.

Kedah dan Pahang pula masing-masing merekodkan tiga kes kematian; diikuti Terengganu (dua); dan masing-masing satu di Perak dan Kuala Lumpur.

Tiada kematian dilaporkan di Negeri Sembilan, Perlis, Labuan dan Putrajaya.

Sementara itu, jumlah kes aktif Covid-19 di seluruh negara melonjak semula daripada 67,986 kes pada Isnin kepada 68,625 kes semalam.

Daripada jumlah itu, 54,940 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 7,529 ditempatkan di PKRC; 5,624 dimasukkan ke hospital; dan 532 pesakit dirawat di ICU dengan 266 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, negara merekodkan 2,591,311 kumulatif positif, sementara 2,498,345 pesakit telah sembuh.

BERITA BERKAIT
POPULAR