Jika kleptokrat berkuasa semula, PN kembalikan mandat kepada rakyat: Muhyiddin

December 4, 2021 · Politik

Perikatan Nasional (PN) sekali lagi mengingatkan kerajaan yang ada sekarang tidak boleh tunduk kepada tekanan kumpulan kleptokrat yang hanya mementingkan diri mereka sendiri.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa PN mempunyai tanggungjawab moral untuk memberikan sokongan kepada kerajaan yang ada sekarang selagi mana prinsip yang telah dinyatakan sebelum ini dipatuhi.

Bagaimanapun, Presiden Bersatu itu berkata sekiranya kumpulan kleptokrat itu kembali berkuasa maka prinsip berkenaan telah tidak dipatuhi.

“Kita berada di sini (dalam kerajaan) adalah untuk berkhidmat kepada rakyat dengan penuh integriti. Tetapi jika prinsip ini tidak lagi diguna pakai, sebaliknya kleptokrat kembali berkuasa, kita telah gagal.

“Jika ini berlaku kita (PN) mesti membuat keputusan terhormat, termasuk menyerahkan kembali mandat kepada rakyat apabila tiba masanya,” katanya merasmikan persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) ke-15 di ibu negara, hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata PN tidak boleh membiarkan sistem politik negara dikawal oleh mereka yang rakus untuk berkuasa semata-mata, sebaliknya gabungan itu mesti menawarkan pentadbiran yang prihatin rakyat, cekap, telus dan berintegriti.

Menurutnya, sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu landskap politik negara telah melalui satu proses perubahan yang amat signifikan apabila negara menyaksikan Malaysia yang dahulunya didominasi oleh hanya sebuah gabungan parti politik kini telah berubah.

Muhyiddin berkata sebelum PRU14, sistem politik negara dikategorikan sebagai didominasi oleh hanya sebuah parti iaitu Barisan Nasional (BN) yang menguasai sistem politik dan kerajaan, manakala parti-parti lain yang berada di luar BN sekadar menjadi pembangkang yang lemah dan sistem ini dilihat mempunyai banyak kelemahan.

“Pemusatan kuasa berlaku dalam sesebuah parti politik yang menyebabkan tidak ada semak dan imbang yang mencukupi dalam pentadbiran kerajaan yang diperintah oleh parti yang dominan ini.

“Segala keputusan hanya dibuat pemimpin parti ataupun sebilangan orang yang menyokong pemimpin parti. Sistem politik ini yang mampu mewujudkan kestabilan politik pada awalnya dilihat berkesan untuk memacu pembangunan negara yang besar ini.

“Namun lama kelamaan kuasa politik yang dominan ini berpusat kepada individu yang memimpin parti dan juga kerajaan. Ahli-ahli parti akur dengan setiap keputusan dan tindakan pemimpin parti walaupun ia adalah suatu perkara yang tidak betul.

“Malah penyelewengan dan juga pelanggaran undang-undang oleh pemimpin parti juga sering berlaku tetapi dipandang sepi oleh pemimpin parti yang lain kerana mereka takut tersingkir daripada parti yang berkuasa dominan dalam kerajaan ini,” katanya.

Muhyiddin berkata sebagai sebuah parti yang mendukung prinsip integriti PN telah meletakkan asas yang jelas dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan, mahupun kerajaan negeri.

“Kita telah pun meletakkan syarat yang tegas bahawa sokongan PN kepada kerajaan pada hari ini adalah tertakluk kepada kepatuhan kerajaan terhadap prinsip-prinsip dan nilai integriti. Ini bagi kita adalah amat penting.

“Ini termasuklah syarat untuk terus menentang rasuah, menentang salah guna kuasa serta tidak sekali-kali mencampuri urusan-urusan mahkamah.

“Institusi mahkamah termasuk agensi pendakwaan mestilah dipastikan bebas untuk menegakkan keadilan tanpa diganggu-gugat oleh sesiapa pun semata-mata untuk melindungi kepentingan pihak-pihak tertentu,” katanya.

Berita berkaitan
Saingan empat penjuru PRK Kuala Kubu Bharu, tiada wakil MCA berarak
April 27, 2024· Politik
DAP semakin berani disebabkan UMNO hanya ‘penumpang’ dalam kerajaan
February 13, 2024· Politik
Isu RM750 juta, PAS minta PMX beri penjelasan jangan melulu buat tuduhan
January 10, 2024· Politik
PN tiada dana untuk mulakan langkah tukar kerajaan, kata Hadi
January 5, 2024· Politik
Popular
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024
Warisan tak bersekongkol dengan parti lain: Azis Jamman
March 5, 2022
Saingan empat penjuru PRK Kuala Kubu Bharu, tiada wakil MCA berarak
April 27, 2024
Ibu, suami dan anak temani Mas Ermieyati sebelum ke pusat penamaan calon
November 8, 2021
Lagi Politik terkini
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
April 26, 2024 · Politik
PRK KKB: PN letak calon tempatan lawan calon DAP dari Ampang
April 26, 2024 · Politik
Pegawai Kor Ming diletak calon DAP pada PRK Kuala Kubu Bharu
April 24, 2024 · Politik
Tengku Zafrul hanya hadir sekali ke mesyuarat UMNO Selangor, kata Megat
April 22, 2024 · Politik
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok