Program imunisasi terbesar dalam sejarah moden Malaysia dalam menentang virus yang muncul di dunia pada akhir 2019, masih diteruskan dengan baki 22.7 peratus daripada kumpulan sasar masih lagi belum mendapat pelalian.
Menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan sejak 24 Februari lalu sehingga semalam, lebih 48.04 juta dos vaksin telah diberikan kepada individu yang berada di negara ini, termasuk rakyat asing.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan daripada jumlah itu, 70.2 peratus atau 22,934,377 individu yang layak telah melengkapkan vaksinasi masing-masing, sementara 77.3 peratus atau 25,240,631 individu lagi menerima sekurang-kurangnya dos pertama daripada vaksin dua dos atau vaksin dos tunggal.
Seramai 30,756 lagi individu khas membabitkan warga emas dan petugas barisan hadapan telah menerima suntikan dos penggalak masing-masing.
Semalam sahaja sebanyak 207,541 dos diberikan di seluruh negara membabitkan 167,136 individu lengkap divaksin, 31,266 menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 9,139 lagi menerima dos penggalak.
Sementara itu, individu dewasa yang melengkapkan suntikan vaksin masing-masing kini mencecah 94.0 peratus atau melibatkan 21,993,417 penerima, sementara 97.3 peratus atau 22,756,938 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Keseluruhannya sebanyak 44,621,774 dos diberikan kepada golongan itu, termasuk 52,425 dos semalam mambabitkan 32,506 individu dewasa melengkapkan suntikan masing-masing, manakala 10,780 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Selain itu, 29.9 peratus atau 940,960 remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah lengkap divaksinasi, manakala 78.9 peratus atau 2,483,693 remaja lagi menerima sekurang-kurangnya dos pertama daripada vaksin dua dos.
Semalam sahaja sebanyak 155,116 dos diberikan dengan 134,630 remaja lengkap divaksin dan 20,486 menerima sekurang-kurangnya satu dos.