Zahid tahu penyalahgunaan dana, Mazlina kambing hitam: Pendakwa

October 18, 2021 · Isu semasa

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengetahui penyalahgunaan dana Yayasan Akalbudi (YAB) dalam akaun semasa dan tujuh akaun deposit tetap yang diamanahkan kepada beliau, kata pihak pendakwaan dalam hujan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berhujah, perkara itu dibuktikan berdasarkan keterangan saksi pendakwaan ke-90, Mejar Mazlina Mazlan bahawa Zahid menjalankan pemeriksaan penyata bank dan buku cek sekali atau dua kali setahun.

Katanya, pihak pembelaan mengetengahkan isu bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri tidak menyedari sepenuhnya penggunaan cek YAB.

Sebaliknya, kata beliau pendakwaan menyatakan, Zahid mengetahui perkara itu dan menuding jari kepada Mazlina dalam usaha menjadikan bekas Setiausaha Eksekutif beliau sebagai kambing hitam untuk menanggung perbuatannya.

Hujah pendakwaan, pada awal 2016, wujud khabar angin bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) mula menjalankan siasatan terhadap Zahid menyebabkan Mazlina diarah oleh tertuduh agar tidak menggunakan cek YAB untuk membayar bil kad kredit, sebaliknya bayaran dijelaskan secara tunai.

Memetik laporan Utusan hari ini, pihak pendakwaan menghujahkan agar Zahid dipanggil membela diri terhadap semua 47 pertuduhan melibatkan kesalahan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana YAB.

Raja Rozela memaklumkan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Presiden UMNO itu dengan mengemukakan keterangan saksi-saksi yang boleh dipercayai dan tidak goyah ketika sesi soal balas.

Pendakwaan menyatakan, Mazlina adalah saksi pendakwaan yang boleh dipercayai dan seorang yang konsisten bukan sahaja ketika disoal balas oleh pembelaan, malah sewaktu sesi pemeriksaan utama dan pemeriksaan semula.

Beliau berhujah, selaku saksi utama pendakwaan, Mazlina secara tegas menyatakan beliau mematuhi arahan Zahid pada setiap masa termasuk berhubung isu penggunaan cop tanda tangan yang hanya dibenarkan untuk pembayaran kad kredit.

Menurut pendakwaan, sebagai pegawai tentera terlatih dan sentiasa menerima dan menurut arahan, Mazlina menjalankan tugas sebaik mungkin mengendalikan kewangan Zahid, tidak mungkin beliau melanggar arahan secara terus daripada tertuduh.

Pendakwaan menghujahkan, jika sekalipun beliau cuai mengendalikan pembayaran kad kredit tertuduh, tiada sedikitpun bukti yang boleh mengaitkan niat jahat terhadap Zahid sejak beliau berkhidmat selama tujuh tahun bermula 2011.

Sehubungan itu, pendakwaan menghujahkan, keterangan Mazlina perlu diterima oleh mahkamah kerana beliau merupakan individu yang bertanggungjawab mengendalikan urusan cek milik YAB.

Penghujahan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Rabu ini.

Zahid, 68, dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.

Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Presiden UMNO itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Berita berkaitan
Setahun lebih Anwar jadi PM, kebebasan media jatuh ke tempat 107
May 3, 2024· Isu semasa
Langkah Zafrul cuba perbetulkan fakta afidavit Zahid gagal, mahkamah tolak
May 2, 2024· Isu semasa
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
April 29, 2024· Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
April 29, 2024· Isu semasa
Popular
Langkah Zafrul cuba perbetulkan fakta afidavit Zahid gagal, mahkamah tolak
May 2, 2024
Saman ibu model warga Belanda dibunuh akan dibicarakan
December 7, 2022
Ke mana masa depan ekonomi orang Melayu?
June 25, 2023
Cukai terhadap produk bergula mampu bantu atasi masalah diabetes
November 15, 2021
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok