Cukai terhadap produk bergula mampu bantu atasi masalah diabetes

Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang terkini melaporkan peningkatan dalam prevalens diabetes, yang kini menjejaskan 1 daripada 5 orang dewasa di Malaysia.

Sehubungan itu,  Dr. Noor Hisham menekankan kepentingan pendekatan yang holistik dalam pencegahan dan pengurusan penyakit untuk membanteras diabetes.

“Kerajaan sememangnya sedar mengenai kepentingan isu ini. Dalam Rancangan Malaysia ke-12, kami telah merangka strategi untuk menggiatkan usaha memerangi pelbagai penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, penyakit jantung, dan kanser, dengan membangunkan program kesedaran dan saringan, serta pelbagai inisiatif dan dasar makro.

“Kami berharap dasar-dasar seperti pelanjutan cukai gula yang diumumkan dalam Bajet 2022 akan dapat membantu rakyat Malaysia menguruskan dengan lebih baik pengambilan minuman bergula yang tinggi buat masa ini,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia  (KKM) Tan Sri Datuk Dr Noor Hisham.

Beliau berucap dalam forum media sempena Hari Diabetes Sedunia 2021 anjuran syarikat penjagaan kesihatan global, Novo Nordisk bersama Unit Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dari Jabatan Kawalan Penyakit, KKM.

Forum yang bertemakan “Akses kepada Penjagaan Diabetes Seabad Sejak Penemuan Insulin”, membincangkan landskap dan dasar penjagaan diabetes di negara ini, meninjau pencapaian setakat ini dan membentangkan perkembangan dalam pencegahan dan pengurusan diabetes.

Sesi panel perbincangan juga telah diadakan untuk membincangkan  masa hadapan penjagaan diabetes, yang menampilkan pakar-pakar termasuk Timbalan Pengarah (Penyakit Tidak Berjangkit) di KKM,Dr. Feisul Idzwan  Mustapha, Pakar Runding Endokrinologi, Ketua Unit Endokrin di Hospital Putrajaya dan Ketua Perkhidmatan Sub-Kepakaran Endokrinologi di KKM, Datuk Dr. Zanariah Hussein dan Pakar Psikologi,  Dr. Hariyati Shahrima Abdul Majid.

Seiring dengan tema Hari Diabetes Sedunia – “Akses kepada Penjagaan Diabetes – Jika Tidak Sekarang, Bila Lagi?”, forum ini akan turut memberi tumpuan kepada pencapaian serta jurang dan cabaran dalam pengurusan diabetes – menerusi penerangan daripada panel pakar dalam pelbagai aspek termasuk rawatan, penjagaan di rumah, pengurusan psikososial, serta dasar dan program berkaitan diabetes.

Menyentuh tentang masa hadapan pengurusan diabetes, Dr. Zanariah berkata, dengan pendekatan bersepadu dalam penjagaan, serta peningkatan dalam penggunaan teknologi digital dalam konsultasi dengan pesakit, pihaknya teruja untuk menantikan lebih banyak perkembangan yang membolehkan kami memberi penjagaan yang lebih baik kepada pesakit diabetes.

“Diabetes adalah penyakit jangka panjang yang bukan sahaja menjejaskan pesakit, tetapi juga penjaga mereka. Menguruskan diabetes di rumah boleh memberi impak psikologi kepada pesakit diabetes dan penjaga mereka – oleh itu, tumpuan yang lebih tinggi perlu diberikan kepada kesejahteraan psikososial.

“Kami berharap agar lebih ramai pakar dalam penjagaan kesihatan mental boleh dilatih untuk memberi sokongan yang lebih baik kepada pengurusan dan penjagaan penyakit kronik di masa hadapan,” tambah Dr. Hariyati.

Sementara itu, Dr. Feisul berkata, apabila bercakap tentang meningkatkan kesedaran terhadap diabetes, kerjasama pelbagai pihak adalah penting untuk membina persekitaran yang menggalakkan kesihatan, bagi mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit di kalangan rakyat Malaysia, terutamanya golongan yang berisiko.

“Bagi mencapai matlamat ini, kami juga berusaha untuk membangun dan menerapkan kesihatan digital sebagai pemangkin perubahan tingkah laku untuk mengurangkan pendedahan populasi berisiko kepada faktor-faktor risiko penyakit tidak berjangkit. Kami akan terus menggiatkan usaha membangunkan program-program untuk mendidik orang ramai mengenai pencegahan, penjagaan dan pengurusan diabetes,” katanya

Hari Diabetes Sedunia adalah sebuah kempen kesedaran global yang dimulakan pada tahun 1991 oleh Federasi Diabetes Antarabangsa (IDF) dan Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai respons kepada kebimbangan yang semakin meningkat akibat prevalen diabetes yang semakin serius. Kempen ini menggalakkan usaha-usaha untuk meningkatkan serta menyebarkan kesedaran mengenai kepentingan merawat dan menguruskan penyakit diabetes yang merupakan isu kesihatan global yang kritikal.

BERITA BERKAIT
POPULAR