Selepas Najib, Ahmad Maslan pula bayangkan jadi mangsa LHDN

September 11, 2021 · Isu semasa

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengatakan dia menjadi mangsa diheret ke mahkamah atas dua pertuduhan, disebabkan sumbangan untuk dana politik tidak dijadikan undang-undang.

Kenyataan beliau dalam Forum Akta Pendanaan Politik disiarkan di Facebook Sinar Live pada Jumaat membayangkan RM2 juta yang diterima beliau daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, adalah dana politik yang tidak perlu diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Justeru, dalam forum berkenaan Ahli Parlimen Pontian itu menyokong sambil berpendapat Akta Pendanaan Politik perlu diteruskan oleh kerajaan sekarang.

“Kenapa tiba-tiba saya nak perkenalkan semula (akta), atas nama saya sendiri, adalah kerana, saya Ahli Parlimen yang menjadi mangsa kepada dana politik yang tidak diaktakan.

“Ada dua kes sahaja tentang saya, iaitu dituduh menerima sejumlah wang tetapi konon saya tak bayar cukai, maka saya tak masuk dalam senarai (Kabinet) Muhyiddin. Dan dalam senarai (Kabinet) Ismail Sabri juga saya tidak masuk sebab ada sedikit masalah itu,” katanya pada forum itu.

Kenyataan beliau dibuat tatkala, kesnya masih dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas dua pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Najib kepada LHDN dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan itu.

Pada 24 Ogos lalu, Ahmad, 55, pertama kali membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh selepas mahkamah membenarkan permohonannya untuk memindahkan kes berkenaan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 13 Julai lalu.

Mahkamah menetapkan 29 September ini untuk pengurusan kes.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar di dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan dengan tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada Najib berjumlah RM2 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu ditunaikannya sendiri pada hari sama.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 30 April 2014.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ahmad juga dituduh memberi penyataan palsu ketika percakapannya dirakam mengikut Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram oleh pegawai penyiasat SPRM di bilik sidang media Bangunan Parlimen, antara jam 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu pada 8 September lalu, Najib membuat laporan polis terhadap LHDN, dengan mendakwa saman tuntutan cukai yang dikenakan terhadapnya bermotifkan politik dan penggunaan dokumen palsu.

Najib mendakwa mempunyai maklumat dan bukti berlaku pelanggaran kuasa mengikut Seksyen 167, Seksyen 192, Seksyen 196, Seksyen 197 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan salah guna kuasa dan penggunaan dokumen palsu.

Dalam catatan Facebooknya, Najib mendakwa berdasarkan maklumat kukuh, ada pegawai LHDN dan ahli politik yang telah menyalahgunakan kuasa mereka dan menggunakan dokumen palsu untuk menganiaya dirinya.

Kerajaan sebelum ini, memfailkan saman terhadap Najib pada Jun 2019 bagi menuntut lebih RM1.69 bilion daripada bekas perdana menteri itu, dengan kadar faedah lima peratus setiap tahun bermula dari tarikh penghakiman, serta kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Susulan laporan polis itu dan dakwaan LHDN menggunakan dokumen palsu untuk mendakwanya di mahkamah, Bukit Aman mengarahkan Najib mengemukakan bukti supaya siasatan lanjut dapat dijalankan.

Bagaimanapun, sehingga kini Najib belum memaklumkan bahawa beliau telah menyerahkan bukti berupa dokumen yang dikehendaki Bukit Aman.

Untuk rekod, kedua-duanya Ahmad dan Najib membuat dakwaan itu setelah kerajaan Malaysia kini diterajui Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Berita berkaitan
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
7 jam lalu· Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
7 jam lalu· Isu semasa
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
April 26, 2024· Politik
Anwar bantah permohonan ujian poligraf dibuat Yusoff Rawther: Laporan
March 30, 2024· Politik
Popular
Rakyat Malaysia terbabit kumpulan Al-Shabaab di Somalia kena 15 tahun
September 24, 2021
Dua loji rawatan air dihenti tugas selepas banjir di Baling
July 6, 2022
Tuduhan bodoh kata saya bocor rahsia, MB Kedah cerita apa berlaku
April 2, 2023
Pekerja asing: Indonesia kata Malaysia tak patuh butiran MoU
July 14, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok