
Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dipecat UMNO sebelum ini kerana lantang mengkritik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dibidas supaya tidak menjadi kacang lupakan kulit sehingga mudah melupakan jasa bekas setiausaha agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dalam memulihkan parti tersebut sebelum ini.
Bekas pembantu Annuar, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendedahkan peranan Annuar dalam memulihkan UMNO yang ketika itu sedang berdepan pelbagai masalah dalaman dan pentadbiran selepas kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Zahid, jangan jadi ‘kacang lupakan kulit’. Bukan sedikit jasa Annuar kepada UMNO, BN (Barisan Nasional) dan terhadap kamu, terutamanya apabila mempertahan, menyelamat dan melepaskan kamu ketika kamu tersepit,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Tun Faisal yang dipecat UMNO juga seperti Annuar mendedahkan Zahid sebelum ini diserang segenap penjuru sehingga terpaksa meminta pertolongan untuk mengelakkan daripada disingkir partinya sendiri.
“Saya juga nak ingatkan Zahid, dia adalah Presiden yang lemah selepas pemilihan tahun 2018. Bukan Annuar yang perlukan Zahid, tetapi Zahid yang perlukan Annuar selepas pemilihan 2018 kerana situasi UMNO sangat teruk, bukan sahaja dari segi imej di mata rakyat selepas kalah PRU-14, tetapi juga dari segi semangat, sistem kerja dan bebanan kewangan.
“Ketika itu Zahid berhadapan dengan krisis keyakinan dalam kalangan ahli UMNO. Ramai nama-nama besar dan pemimpin UMNO empat peringkat mempersoalkan hala tuju UMNO yang hendak dibawa oleh Zahid.
“Saya ingat lagi, di Janda Baik, hala tuju yang hendak dibawa oleh Zahid bercanggah dengan hala tuju yang hendak dibawa oleh Datuk Seri Mohamad Hassan. Ramai yang tak faham apa yang Zahid sampaikan tentang konsep ‘amalgamated’ UMNO dan mereka lebih memihak kepada Mat Hassan.
“Ketika ini Zahid diserang dari banyak sudut oleh pemimpin UMNO. Siapa yang pertahan Zahid? Annuar, sejumlah kecil pemimpin dan saya sendiri yang mempertahankan Zahid.
“Saya boleh cakap la, dalam Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan ketika itu majoriti Ketua-ketua UMNO Bahagian dalam Wilayah Persekutuan tidak mahu Zahid.
“Kemuncak kepada krisis keyakinan ini adalah Zahid dipaksa berehat dan sejumlah Ketua UMNO Bahagian dan pemimpin UMNO keluar meninggalkan parti,” katanya.
Tun Faisal juga mendedahkan isu pentadbiran yang dihadapi UMNO dibawah Zahid apabila sistem IT dan pengkalan data UMNO yang hilang dibawa lari, malah berdepan risiko diharamkan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS).
“Saya juga dimaklumkan ketika itu, sistem IT dan database UMNO pun sudah lesap dibawa lari.
“Bukan itu saja, rupanya selama bertahun-tahun UMNO beroperasi dalam keadaan menyalahi peraturan, iaitu tanpa cawangan-cawangan UMNO menghantar Borang 9 disebabkan kecuaian Setiausaha Agung Umno yang lama dan berhadapan dengan risiko diharamkan oleh Pendaftar Pertubuhan,” ujarnya lagi.
Jelasnya lagi, Annuar ketika itu bertanggungjawab menyusun semula dan memastikan pentadbiran dalam UMNO berjalan mengikut prosedur.
“Zahid mungkin lupa siapa yang membetulkan keadaan di ibu pejabat UMNO ketika itu. Annuar lah yang telah membuat penyusunan semula sistem kerja, sistem pentadbiran dan sistem pengkalan data ibupejabat UMNO ketika itu.
“Gaji pegawai dan kakitangan terpaksa diturunkan sampai 30 peratus, unit2 tertentu yang banyak memakan belanja tapi kurang impaknya terpaksa ditutup seperti unit penaziran dan penamatan kontrak pegawai-pegawai lantikan politik atau projek terpaksa dibuat,” katanya lagi.
Tun Faisal berkata Annuar juga bertanggungjawab dalam mencari jalan menggantikan sistem pengkalan data UMNO yang dibawa lari.
“Untuk menggantikan sistem pengkalan data UMNO yang dibawa lari, Annuar lah yang membawa sistem MAWAR dlm sistem PRU UMNO dan menubuhkan JUARA.
“Inilah sistem yang digunakan Annuar untuk menang dengan undi yang lebih besar di Ketereh dalam PRU-14 dan sistem ini jugalah yang telah membantu memenangkan 7 PRK (Pilihan Raya Kecil),” katanya lagi.