
Pilihan Raya Negeri pada 12 Ogos 2023.
Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman dipertahankan dengan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Johari Hussain dengan hanya memperoleh majoriti tipis.
Walaupun sudah berkahwin politik BN dengan Pakatan Harapan (PH), Johari hanya mendapat majoriti tipis 573 undi, lebih rendah daripada majoriti diperoleh sebelum ini.
Johari memperoleh 8,080 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Nor Idayu Hashim yang mendapat 7, 507 undi manakala calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Fadzli Mohd Ramly yang sebelum ini mengumumkan menarik diri mendapat 784 undi.
Dua lagi calon, Osman Bakar daripada Pejuang dan Sulaiman Bakar (Bebas) hilang deposit.
Osman mendapat 79 undi manakala Sulaiman pula hanya memperoleh 58 undi.
Keputusan pilihan raya DUN Tioman menyaksikan BN Pahang kini memiliki 17 kerusi DUN, menyamai jumlah kerusi DUN dimenangi PN Pahang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Johari menyandang kerusi DUN Tioman sejak 2008 dan menang dengan majoriti 1,280 undi dalam pertandingan empat penjuru pada PRU-14 lalu.
DUN Tioman mempunyai 28,465 pengundi termasuk 262 pengundi awal dan tiga pengundi pos.