
UMNO hari ini (15 Mei 2022) meluluskan pindaan perlembagaannya bagi membolehkan pemilihan parti diadakan enam bulan selepas Pilihan Raya Umum.
Perhimpunan Agung Khas UMNO hari ini sebulat suara meluluskan usul meminda Perlembagaan UMNO yang antara lain membolehkan pemilihan parti diadakan tidak lebih daripada enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan perkara itu menerusi laman Twitter beliau.
“Diluluskan pindaan perlembagaan dengan sebulat suara oleh perwakilan dalam #Dewan Merdeka, #WTCKL pada 15/5/2022. Alhamdulillah,” katanya menerusi ciapan terbaharunya.
Usul pindaan itu yang membabitkan Fasal 10.16; Fasal 15.3; dan Fasal 18.2 dibentangkan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di hadapan 2,586 perwakilan yang hadir.
UMNO sebelum ini menangguhkan pemilihan parti di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lepas
Ini bermakna, tempoh 18 bulan itu akan tamat hujung tahun ini dan pemilihan UMNO perlu diadakan sebelum 30 Disember 2022.
Pindaan perlembagaan yang diluluskan hari ini akan diserahkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk mendapat kelulusan.
Sebelum ini, pemerhati politik dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Shekh Alsagoff, melihat dari sudut implikasi pindaan perlembagaan ini kepada UMNO sekiranya tidak diluluskan.
“Seingat saya, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Jasri Kasim, pernah dilaporkan berkata pada 10 Ogos 2021 bahawa MT UMNO hanya berfungsi sebagai ‘caretaker’ yang hanya boleh melaksanakan tugas urusan hal ehwal pentadbiran sahaja.
“Pasti akan ada pertanyaan apakah memanjangkan tempoh memegang jawatan pemimpin selepas masa enam bulan sesuatu PRU dilangsungkan boleh dilakukan melalui inisiatif MT UMNO yang hanya berfungsi sebagai ‘caretaker’ sahaja,” katanya.
Jasri dilaporkan berkata MT yang diketuai Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam tempoh sebelum pemilihan dibuat, hanya boleh menjalankan kerja-kerja pentadbiran parti.
Menurutnya, dalam situasi itu, pihaknya menyangkal ura-ura bahawa parti itu boleh dibatalkan dengan mudah kerana ia masih diterajui Pengerusi Tetap dalam tempoh fungsi kepemimpinan MT ketika ini.