
Ahli Parlimen DAP Ipoh Timur, Howard Lee.
Selepas menerima kritikan hebat, seorang pemimpin DAP tampil mempertahankan dirinya berhubung ulasan ayat al-Quran yang dibuatnya baru-baru ini dalam TikTok.
Ahli Parlimen DAP (Ipoh Timur), Howard Lee mendakwa ulasan ayat al-Quran dibuat itu bukan kajian sendiri tetapi selepas berjumpa orang alim dan ustaz mengenai perkara itu.
“Bukan saja buat kajian saya sendiri. Saya bertalaqqi dengan orang alim, telah bermuzakarah dengan beberapa orang yang alim, beberapa orang ustaz,” katanya dipetik laporan media.
Howard juga menafikan dakwaan beliau mentafsir al-Quran, sambil mengatakan beliau hanya memetik daripada kitab suci itu.
“Saya guna istilah memetik kerana tuduhannya saya menafsir. Saya tidak menafsir, saya hanya memetik ayat itu.”
Howard, yang baru pulang sebagai delegasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, berkata beliau sudah memberikan keterangan kepada pihak polis mengenai perkara itu.
Satu laporan polis dibuat terhadapnya berhubung video TikTok di mana beliau memetik ayat 59 Surah an-Nisa dalam al-Quran yang antara lain berbunyi: “Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan Ulul Amri (pemegang kekuasaan) di antara kamu.”
“Ayat suci ni. Hakikatnya, semua propaganda nak angkat Islam, angkat agama, bangsa dan negara atas nama agama, semuanya ikut deme (kamu), semata-mata sebenarnya nak raih undi,” kata Lee dalam video berdurasi empat minit itu.
Dalam video itu, beliau juga membidas PAS dan menuduh presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang menunggang agama, sambil memetik ayat untuk memberitahu umat Islam tentang kewajipan mereka untuk menyokong kerajaan Anwar.
Klip video itu menimbulkan kritikan pedas terhadap pemimpin DAP itu di media sosial malah pemimpin PAS termasuk Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang membandingkan tindakan Lee dengan Basuki Tjahaja Purnama dari Indonesia, bekas gabenor Kristian Jakarta yang dihukum penjara selepas beliau memetik ayat al-Quran untuk mengecam pengkritiknya.
Bagaimanapun, Howard dalam kenyataannya hari ini menuduh pengkritiknya cuba mencetuskan ketegangan, sambil menambah beliau menerima ugutan bunuh, namun beliau memilih untuk tidak membuat laporan polis mengenai perkara ini.