
Datuk Mahfuz Omar.
Datuk Mahfuz Omar dibahan (sindir) pengguna media sosial selepas beberapa hari tidak mengemaskini status Facebooknya sejak kalah sekali lagi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Naib Presiden Amanah yang juga calon kalah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu memuat naik status bersarapan pagi dan ia merupakan kemunculan pertama dalam media sosial sejak berakhir PRN pada 12 Ogos lalu.
Rata-rata pengguna media sosial berkongsi komen menyindir Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) itu yang dilantik kerajaan campuran walaupun sebelum ini berjanji tidak akan memberi lantikan politik kepada mereka yang kalah dalam pilihan raya.
“Alhamdulillah, dah kluaq gua…abe pudin n abe rafizi qakyat dok cari tak jumpa lg,” kata seorang pengguna bernama Mohd Ridhwan B. Bakar dalam ruangan komen status Mahfuz.
“Akhirnya dato.. kami dok cari beberapa hari dah .. alhmdulillah,” kata Syarizad Jat Jat di ruang komen.
Setakat pagi tadi, sebanyak 100 komen lebih dihantar pengguna media sosial tersebut dengan rata-rata menyindirnya yang hilang beberapa hari sejak kalah pada PRN lalu.
Mahfuz kalah di kerusi DUN Alor Mengkudu kepada calon Perikatan Nasional (PN), Muhamad Radhi Mat Din dengan majoriti 10,104 undi.
Muhamad Radhi yang juga bekas pemain bola sepak Kedah memperoleh 18,936 undi manakala Mahfuz yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah memperoleh 8,832 undi.
Kekalahan tersebut merupakan kali kedua buat Mahfuz yang tewas semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Parlimen Pokok Sena.