Sidang Khas Parlimen: 3 Ahli Parlimen positif Covid-19 semasa ujian calitan

Sekurang-kurangnya tiga Ahli Parlimen (MP) didapati positif jangkitan Covid-19 semasa menjalani ujian calitan pada Jumaat baru-baru ini, sementara empat MP lain menjadi kontak rapat dan beberapa petugas juga dikesan dijangkiti virus membunuh tersebut.

Sumber mendedahkan kepada Agenda Daily, selain tiga MP tersebut yang positif mereka turut dikesan menjadi kontak rapat kepada empat MP lain dan perlu menjalani kuarantin kendiri wajib selama 14 hari mengikut syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Daripada laporan awal yang diterima, sekurang-kurangnya tiga Ahli Parlimen dikesan positif Covid-19 dan mereka menjadi kontak rapat kepada empat lagi rakan MP,” kata sumber.

Agenda Daily masih cuba mendapatkan pengesahan secara rasmi daripada pihak Parlimen berhubung pendedahan sumber tersebut.

Selain itu, menurut sumber seramai 35 petugas Parlimen juga didapati positif dan ia menimbulkan kebimbangan akan menyebabkan penularan besar-besaran menjelang pembukaan Sidang Khas pada Isnin ini.

Jumaat lalu, semua MP diwajibkan menjalani ujian calitan Covid-19 sebelum dibenarkan menghadiri Sidang Khas selama lima hari nanti.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun sebelum ini berkata hanya empat MP yang masih belum menerima suntikan vaksinasi sementara lebih 95 peratus MP sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Daripada jumlah tersebut, baki 35 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, ia bagaimanapun empat MP tersebut tetap dibenarkan hadir ke persidangan Dewan Rakyat tetapi perlu berhati-hati dengan risiko jangkitan.

Sidang Khas Parlimen itu akan diadakan selama lima hari pada 26, 27, 28 dan 29 Julai serta 2 Ogos ini, ia pertama kali semenjak Proklamasi Darurat diisytiharkan pada Januari.

Dijangkakan lima menteri termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi penerangan mengenai keseluruhan termasuk Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sidang khas Parlimen diadakan untuk kerajaan membentangkan proklamasi darurat dan ordinan-ordinan darurat seperti yang dikehendaki Yang di-Pertuan Agong.

Mengikut Peraturan Am 11(3), Perdana Menteri menetapkan Aturan Urusan Mesyuarat yang hanya akan melibatkan:

a) Pembentangan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat.
b) Pembentangan Proklamasi Darurat (2) bertarikh 12 Disember 2020 mengenai Pilihan Raya Kecil Parlimen Gerik serta Pembentangan Proklamasi Darurat (3) bertarikh 12 Disember 2020 mengenai Pilihan Raya Kecil N66 Bugaya, Sabah.
c) Penerangan menteri-menteri di bawah Peraturan Am 14(1)(i).

Ahli-ahli Dewan boleh bertanyakan soalan hanya selepas menteri selesai setiap sesi penerangan dan terhad kepada isu yang merangkumi penerangan menteri.

BERITA BERKAIT
POPULAR