
Perlembagaan memberikan penekanan kepada konsep 'tanggungjawab bersama' sepertimana di bawah Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan.
Semua parti politik ketika ini giat berkempen dan mempersiapkan jentera masing-masing untuk dikerah ke gelanggang pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) selepas terdapat petanda jelas bila-bila masa sahaja Parlimen bakal dibubarkan.
Ketika desakan kuat datang daripada dalam UMNO sendiri yang mahu PRU-15 disegerakan, adakah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai pilihan lain untuk mengelakkan daripada Parlimen dibubarkan seperti dikehendaki Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Untuk rekod, Zahid juga berdepan puluhan kes pendakwaan di mahkamah yang sedang berjalan dan sekiranya dijatuhi hukuman bersalah berkemungkinan hilang kelayakan untuk bertanding dalam PRU-15, perkara itu sangat membimbangkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Mengambil kira faktor risiko tidak dapat bertanding tersebut, sudah pastinya terdapat keperluan untuk mendesak supaya PRU-15 diadakan sebelum mahkamah membuat penghakiman.
Bagaimanapun, adakah Ismail Sabri akan tunduk dengan desakan sedemikian, mengenepikan gesaan Presiden dan partinya untuk mengadakan PRU segera?
Lebih lama lagi PRU-15 ditangguhkan, lebih banyak serangan akan dihadapi Ismail Sabri, pengikut setia Datuk Seri Najib Razak seperti Datuk Lokman Noor Adam dan Isham Jalil hampir saban hari menjadi pendesak menggesa agar pilihan raya diadakan dengan segera atas alasan UMNO kini sudah kuat dan mampu menang besar.
Ketika ini pun, Ismail Sabri sudah dihamburkan dengan kritikan yang agak kasar atau boleh dikatakan kurang ajar daripada kedua-dua pengikut Najib ini. Jadi tidak hairan, tindakan keras dan tegas diambil terhadap Lokman selepas polis menyiasatnya.
Mengikut teori Lokman dan Isham, sekiranya UMNO menang besar, bos mereka akan dapat dibebaskan dengan kerajaan memohon pengampuan daripada Yang di-Pertuan Agong seperti yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini terhadap pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jadi desakan PRU-15 diawalkan menurut sisi pandangan pengikut Najib adalah satu-satunya jalan yang dimiliki mereka untuk membebaskan bekas Perdana Menteri itu daripada hukuman penjara dihadapinya.
Terdahulu, semasa wawancara baru-baru ini dengan pengamal media arus perdana yang terpilih dengan Ismail Sabri, Naib Presiden itu memberitahu hubungannya dengan Zahid sangat rapat dan sangat menghormatinya sebagai ketua parti tersebut.
Malah Ismail Sabri berkata beliau adalah orang parti dan pastinya akan menghormati setiap keputusan yang dibuat parti, tapi adakah beliau akan menghormati dan mengikut cakap Zahid supaya diadakan segera PRU-15?
Dalam perkembangan yang lain, pembentangan Bajet 2023 nampaknya juga sudah diawalkan pada minggu pertama Oktober bulan depan, terdapat pelbagai spekulasi sedang berlegar-legar berkemungkinan Parlimen bakal dibubarkan selepas itu.
Bajet 2023 akan dibentang pada 7 Oktober, ia lebih awal tiga minggu daripada yang dijadualkan dan beberapa penganalisis politik berkata ia adalah petanda besar PRU-15 bakal diadakan dengan sudah pastinya ia bakal menjadi belanjawan pilihan raya bagi mendapatkan sokongan rakyat.
Sebelum itu, beberapa kes berprofil tinggi melibatkan pemimpin UMNO masih sedang berjalan pada bulan ini selepas Najib dihukum penjara 12 tahun pada bulan lalu, antaranya kes rasuah Zahid sendiri, kes rasuah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, kes rasuah Datuk Seri Azeez Rahim dan termasuk kes melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor.
Kes-kes mahkamah yang berjalan ini sangat ikonik kerana nama-nama pemimpin besar ini antara yang sinonim dikatakan rapat dengan Najib sebelum ini.
Sepanjang dua minggu ini, semua parti politik sibuk mengadakan mesyuarat dan konvensyen masing-masing, bagaimanapun UMNO lebih menarik kerana selain pemimpin utamanya menjelajah ke seluruh negara untuk menggerakkan jentera pilihan raya, kumpulan pro-Najib pula menggerakkan kempen bersolidariti terhadap hukuman yang dijatuhkan.
Langkah tersebut dilihat serampang dua mata, UMNO menggunakan isu pemenjaraan Najib untuk mendapatkan simpati rakyat dan pada masa sama mahu rakyat memilih mereka supaya dapat menjadi dominan semula.
Namun, hasil pemerhatian sepanjang perjalanan kempen untuk mendapatkan belas kasihan kepada Najib, ia seakan tidak mendapat sambutan menggalakkan. Malah perhimpunan baru-baru ini di tempat Najib sendiri, Pekan juga gagal menghimpunkan orang ramai.
Hanya kelihatan pengundi saluran satu yang lebih ramai, jumlah kehadiran juga agak mengecewakan apabila tidak sampai seratus orang berhimpun pada hujung minggu lalu. Adakah kes Najib sendiri tidak diendahkan pengundi di kawasannya sendiri?
Walaupun pelbagai ramalan dan spekulasi berlegar PRU-15 bakal diadakan selepas pembentangan Bajet 2023 pada Oktober, adakah ia akan menjadi kenyataan.
Terbaharu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sudah mengeluarkan amaran berhubung cuaca lembap yang bakal dihadapi negara kerana fasa peralihan monsun pada Oktober ini.
“Pada bulan Oktober 2022, kebanyakkan negeri di Semenanjung dijangka akan menerima taburan hujan pada paras purata di antara 150mm sehingga 350mm,” kata MetMalaysia dalam hantaran di Facebook.
Menerusi ramalan terbaharu itu, dijangka taburan hujan akan meningkat disertai dengan ribut petir, terdapat kemungkinan juga banjir akan melanda negara seperti tahun lalu.
Dalam keributan UMNO mendesak supaya PRU-15 diadakan segera, negara juga diramalkan bakal berdepan cuaca ribut pada Oktober, mana satu keutamaan Ismail Sabri, adakah ribut dalam UMNO atau ribut yang bakal dihadapi rakyat pada Oktober nanti?