
Azmin bersama Muhyiddin semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perikatan Nasional (PN) malam tadı (21 Mei 2023).
Keputusan untuk berehat daripada pentas politik masih kekal lagi, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa memberi bayangan tidak akan mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor nanti memandangkan sudah lama berkhidmat di kawasannya sebelum ini.
“Saya sudah maklumkan sebelum ini bahawa saya mahu berehat. Saya sudah berkhidmat selama tujuh penggal, satu penggal di Ulu Kelang, tiga penggal di Bukit Antarabangsa dan Gombak.
“Keputusan itu (berehat) saya buat enam bulan lalu sejurus selepas pilihan raya. Saya masih berpegang kepada keputusan tersebut,” katanya dipetik laporan media.
Azmin terdahulu menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perikatan Nasional (PN) di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor malam tadi.
Menurutnya, beliau secara peribadi mahu memberi laluan kepada calon muda yang berpotensi dalam PN untuk bertanding.
“Maka saya rasa sudah sampai masanya untuk saya memberi laluan kepada tokoh muda yang ramai berpotensi, saya akan terus memberikan khidmat dan sumbangan kepada Perikatan Nasional.
“Dan inilah yang sedang saya lakukan, saya lihat sambutan kepada PN semakin mantap dan kukuh,” katanya lagi.
Pada masa sama, beliau turut mengulas mengenai dakwaan akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib sebagaimana dilaporkan sebuah portal berita.
“Saya terima banyak permintaan bukan sahaja DUN Morib tetapi beberapa DUN di Selangor. (Sekiranya dicalonkan) saya serah kepada kepimpinan parti,” katanya lagi.
Pemimpin utama PN turut hadir memeriahkan majlis tersebut yang dihadiri ribuan warga Selangor, turut hadir Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin.