
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berdepan tuduhan menerima rasuah yang ada kaitan dengan projek terowong dasar laut.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diperintah membayar ganti rugi am RM250,000 kepada Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim hari ini.
Mahkamah Rayuan membuat keputusan tersebut dalam saman fitnah dibuat bekas Ahli Parlimen UMNO itu terhadap Guan Eng sebelum ini berhubung pembinaan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.
Panel tiga hakim membabitkan Datuk Azizah Nawawi, Datuk Seri Mariana Yahya dan Datuk Azimah Omar yang membenarkan rayuan Abdul Azeez turut memerintahkan Guan Eng selaku responden membayar kos RM70,000 kepada Abdul Azeez.
Azimah ketika membacakan keputusan itu berkata, mahkamah rendah terkhilaf menolak saman Abdul Azeez terhadap Guan Eng dan membenarkan pembelaan Guan Eng bagi justifikasi, komen yang adil dan keistimewaan yang layak berhubung kenyataannya berkaitan Abdul Azeez.
Abdul Azeez merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 11 Disember 2020 yang menolak saman fitnahnya terhadap Guan Eng.
Abdul Azeez memfailkan saman itu pada Mac 2018, mendakwa Guan Eng mengeluarkan kenyataan fitnah pada sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri pada 28 Februari 2018 dan ketika rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang pada hari sama yang mengaitkan beliau dengan pembayaran sebanyak RM3 juta sebagai yuran perundingan oleh pemaju projek terowong dasar laut.
Abdul Azeez meminta ganti rugi am dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.