
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berdepan tuduhan menerima rasuah yang ada kaitan dengan projek terowong dasar laut.
Ahli politik tidak sepatutnya berselindung di sebalik kata-kata ‘tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’ kata aktivis anti-rasuah, Edmund Terence Gomez, lapor FMT.
Beliau merujuk kepada tuduhan rasuah terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang digugurkan apabila gabungan itu berkuasa.
Beliau mempersoalkan sama ada Ketua Pemuda DAP Dr Kelvin Yii tetap berpendirian seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan sekiranya individu yang berdepan tuduhan rasuah itu menjadi perdana menteri.
Sebelum ini Kelvin mengulas kenyataan Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4) berhubung saranan agar ahli politik berdepan tuduhan rasuah tidak bertanding pada pilihan raya umum kerana katanya masyarakat sepatutnya menganggap seseorang itu tidak bersalah sehingga mahkamah membuktikan sebaliknya.
Antara ahli politik berdepan tuduhan rasuah membabitkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Muda, Syed Saddiq Abdul Rahman.
Kesemua mereka kembali bertanding masing-masing di kawasan Parlimen Bagan, Bagan Datuk dan Muar.
Menurut Gomez, timbul kemungkinan perdana menteri yang berdepan tuduhan rasuah akan menggunakan kuasanya untuk menggugurkan kes dihadapi.
Beliau memberi amaran itu susulan kenyataan bekas menteri undang-undang, Datuk Seri Azalina Othman Said pada Ogos lalu yang menyatakan sesiapa sahaja menjadi perdana menteri kebiasaannya akan melantik ‘orangnya’ bagi jawatan peguam negara.
Kenyataan Azalina itu mengundang kecaman termasuk daripada Ngeh Koo Kam (DAP) yang menyifatkan tindakan itu menyumbang kepada salah guna kuasa.
“Sebagai rakyat Malaysia yang berdepan masalah serius tentang bagaimana peguam negara dilantik, adakah Kevin masih berpandangan mereka berdepan tuduhan rasuah patut dibenarkan bertanding pada pilihan raya ini?,” kata Gomez.
Tegasnya, ahli politik seperti Guan Eng, Zahid dan Syed Saddiq perlu membersihkan nama mereka terlebih dahulu sebelum bertanding mana-mana pilihan raya.
Katanya, ahli politik perlu berhenti menyebut ‘perkara mengarut’ dengan memetik kata-kata ‘tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’, sambil mendakwa sejarah membuktikan ia bukan perkara benar.
“Sehingga berlakunya pembaharuan struktur yang menyaksikan peguam negara dilantik secara bebas, kita mesti berhenti berselindung di sebaliknya,” katanya.